LAGU berjudul Percayalah yang popular pada 2013 membawa nama penyanyi Indah Ruhaila sebagai antara penghibur dikenali ketika itu.
Lebih manis lagi apabila lagu ciptaan komposer Aiman berkenaan layak membolosi pentas Anugerah Juara Lagu ke-29, (AJL29) setahun selepas itu.
Selepas menjejakkan kaki ke pentas AJL29, nama Indah seakan tenggelam, hilang entah ke mana. Meskipun lahir dengan beberapa buah single lain seperti Di Sebalik Takdir, Cerita Cinta Kita, Semua Untuk Cinta dan Kau Yang Satu, percubaannya gagal membantu melonjakkan kembali namanya di persada seni suara tempatan.
Hanya pada 2019, namanya kembali mendapat perhatian selepas lagu berjudul Pudar kembali menarik perhatian pendengar dan melangkah ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 34.
Tenggelam timbul, itulah yang berlaku terhadap pola dan perjalanan karier Indah atau nama lengkapnya Siti Ruhailah Hussein.
Bahkan, penyanyi berusia 35 tahun itu sendiri mengakui perkara tersebut, namun tidak pula dia berasa kecil hati kerana itulah yang diri sendiri mahukan.

Populariti
Kata Indah, dia sedar namanya sebagai penyanyi tidak begitu popular, berbanding penyanyi wanita lain di Malaysia.
“Saya setuju kalau orang kata saya ibarat tenggelam timbul. Ada produk (lagu), barulah muncul nama saya. Itu pun kalau lagu itu menjadi (popular). Memang saya tidak menafikannya,” kata Indah jujur.
Ujar bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) itu, walaupun bergelar seorang artis, dia tidak terlalu mengejar populariti, malah enggan menjadi popular.
Alasannya, dia lebih suka menjalani kehidupan seperti orang biasa berbanding menelan situasi diserbu peminat ketika berada di luar.
“Saya lebih suka hidup sebagai orang biasa. Saya tidak kisah pun untuk mengejar populariti. Malah, saya sendiri tidak kisah apabila orang anggap saya tidak popular.
“Saya lebih mementingkan kualiti berbanding populariti. Saya nak orang tahu lagu dan kebolehan saya sebagai penyanyi,” katanya.

Cerewet
Dakwa Indah lagi, dia tidak selesa andai populariti boleh menyebabkan kehidupan peribadinya ‘diceroboh’ peminat.
“Kalau popular sangat pun susah juga nak ke sana sini. Orang akan kenal. Jadi lebih baik saya menjalani kehidupan seperti orang biasa,” katanya.
Akan tetapi, penyanyi itu pada masa sama turut mengakui diri seorang yang sangat cerewet dalam memilih sesebuah lagu untuk dinyanyikan.
Katanya, dia mementingkan melodi yang sesuai dengan jiwanya sebagai seorang penyanyi.

“Saya memang cerewet pilih lagu. Saya mementingkan melodi yang sesuai dengan jiwa. Bila orang dengar lagu saya, mereka mudah ‘tangkap’ melodi lagu tersebut.
“Saya tidak mahu ‘syok sendiri’ merakamkan lagu sembarangan, sebab nanti akhirnya tidak mendapat tempat di hati pendengar.
“Apa pun, semua itu bergantung pada rezeki juga sebenarnya,” kata Indah yang kini muncul dengan single baharu berjudul All My Heart ciptaan Ajai.
Showcase
Dalam perkembangan lain, Indah juga menyatakan hasrat untuk mengadakan persembahan berbentuk ‘showcase’ sebagai tanda keberadaannya dalam sudah cukup matang.

“Kalau ikutkan saya sudah lama berada dalam industri sebelum menyertai AF10 lagi. Saya mula merakamkan album ketika berusia 17 tahun.
“Sekarang usia saya sudah pun mencecah 35 tahun. Mestilah teringin nak buat persembahan dalam skala besar. Bila saya datang menonton persembahan penyanyi lain, rasa seronok pula.
“Insya-Allah memang ada perancangan ke arah itu (showcase) pada tahun ini. Mungkin pada bulan Disember nanti. Semuanya masih dalam perancangan dengan pihak pengurusan, Rocketfuel. Kalau jadi saya akan umumkan kepada semua,” ujar Indah gembira menutup perbualan.














