SAMA cantik, sama padan, bagai pinang dibelah dua. Sudah tersurat takdir penyanyi Shahir Zawawi akhirnya bertemu jodoh pada usia 34 tahun, sekali gus menutup mulut banyak pihak yang selama ini ternanti-nantikan siapakah wanita bertuah yang menjadi suri hatinya.
Usai majlis akad nikah yang diadakan pada Jumaat minggu lalu, Shahir atau nama lengkapnya Ahmad Shahir Zawawi kelihatan sebak apabila sah lafaz dirinya menjadi suami kepada pasangan pilihan hati, Jaskin Jaludin.
Majlis pernikahan yang diadakan di Royal Ballroom Bizmilla, One City, Subang Jaya, Selangor tersebut meriah dengan kehadiran kaum keluarga kedua-dua belah mempelai serta sahabat yang turut sama meraikan hari bahagia mereka.
Apa yang membuatkan Shahir bersyukur apabila perjalanannya bersama isteri untuk disatukan dalam ikatan yang sah dipermudah urusan oleh Allah SWT walaupun perkenalan mereka terjadi dalam tempoh waktu yang sangat singkat selepas mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu.

“Alhamdulillah sebelum melangkah masuk ke dalam dewan, hati saya sangat berdebar dan gementar. Selepas selesai akad, saya rasa bersyukur dan lega. Lega kerana semuanya berjalan lancar.
“Perasaan saya bertukar sebak apabila melihat isteri turut menitiskan air mata. Itu sebenarnya air mata kesyukuran sebab apa yang kami berdua usahakan dipermudah oleh Allah,” katanya.
Fasa perkenalan
Berkongsi sedikit tentang momen perkenalan bersama isteri tercinta, Shahir memberitahu, dia sebenarnya yang terlebih dahulu menyapa wanita berusia 33 tahun itu dalam Instagram.
Bahkan, isterinya pada ketika itu juga tidak mengetahui statusnya sebagai seorang penyanyi.
“Isteri tidak tahu saya seorang artis. Pertama sebab dia tidak menonton rancangan Akademi Fantasia (AF). Kedua mungkin sebab dia tidak perasan dalam profil yang mengatakan bahawa saya seorang artis.
“Ketika berkenalan, kami dalam fasa mencari pasangan dan berharap dapat menamatkan zaman bujang. Kami kenal, borak-borak dan dua minggu selepas itu masing-masing ambil keputusan jalani kursus kahwin secara dalam talian.
“Hanya selepas itu baru kami bertemu dan alhamdulillah, antara saya dan isteri ada keserasian apabila bersama,” katanya.

Penyanyi itu yang tampak begitu kacak dalam persalinan baju Melayu berona putih ketika ditanya tentang sifat isterinya memberitahu, wanita asal Sabah itu memiliki hati yang sangat suci.
“Saya terpaut pada isteri kerana hatinya yang sangat suci. Kalau siapa kenal dia, pasti tahu macam mana orangnya. Lagi satu, isteri juga seorang yang lucu.
“Kita nak pasangan yang bukan sahaja menjadi isteri, tetapi juga sahabat dan teman bergelak ketawa. Alhamdulillah semua ciri itu ada pada dia,” ujar Shahir.
Sebak
Bagi Jaskin pula, dia yang juga merupakan seorang pengusaha butik di Puchong merasakan seperti tidak percaya dirinya sudah pun bergelar seorang isteri.
Dalam linangan air mata, wanita berkulit putih mulus itu memberitahu, dia pernah terfikir bahawa dirinya tidak mungkin akan berkahwin kerana masih belum bertemu jodoh.

“Saya terharu dan sedih selepas sah bergelar isteri. Saya sendiri tidak menyangka bahagia akhirnya datang menyapa diri.
“Saya menangis sebab tak rasa pun akan berkahwin dan dapat merasai saat seperti ini. Tentang kisah perkenalan saya dan suami, memang saya langsung tidak tahu dia merupakan seorang selebriti,” jelasnya.
Zuriat
Adat bergelar pasangan kepada artis, Jaskin juga sudah bersedia untuk terkena tempias populariti yang diraih suaminya. Bahkan dia juga tiada halangan untuk suaminya berduet bersama penyanyi wanita lain atas tuntutan kerja.
“Insya-Allah saya sudah bersedia dengan liku-liku bergelar isteri kepada seorang selebriti. Saya juga tiada halangan untuk Shahir berduet atau berpasangan dengan mana-mana penyanyi wanita demi perkembangan karier nyanyiannya,” kata Jaskin.
Merancang ‘bulan madu’ di Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah pada penghujung tahun ini, Shahir mendedahkan bahawa isterinya pernah berdoa pada awal tahun lalu untuk sekali lagi ke Tanah Suci dengan membawa seorang suami.

“Kiranya isteri ingin menunaikan janji selepas doanya dimakbulkan Tuhan. Untuk perancangan bulan madu lain, kami berdua sukakan pulau dan laut.
“Jadi kami mungkin akan ke destinasi sebegitu, namun belum ada perancangan dalam waktu terdekat,” kata Shahir yang popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan.
Tidak menolak seandainya diberikan rezeki zuriat dalam waktu terdekat, pasangan sejolit itu hanya berserah pada rezeki yang akan dikurniakan Allah.
“Soal anak, kami tidak merancang. Sekiranya Allah kurniakan rezeki awal, kami terima,” kata mereka sambil mengukir senyuman bersama.















