fbpx

Mahkamah: Nasib Abdul Azeez batal 13 pertuduhan diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez.

PUTRAJAYA – Nasib bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya akan ditentukan esok di Mahkamah Rayuan.

Keputusan sama ada permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan itu dibenarkan atau tidak, ia akan ditentukan oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri  Kamaludin Md. Said.

Sebelum ini, Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Terdahulu pada prosiding 26 Ogos lalu, keputusan batal pertuduhan terpaksa ditangguhkan berikutan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memaklumkan anak guamnya telah telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami masalah kesihatan.

Semasa prosiding, panel tersebut menyatakan mahkamah sudah mempunyai keputusan mengenai rayuan perayu namun peguam itu menyatakan beliau tidak sangka anak guamnya mengalami masalah kesihatan.

Dalam prosiding sama, Amer juga turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan masih tiada jawapan.

Difahamkan pada 26 Ogos lalu prosiding keputusan itu merupakan kali ketiga tertangguh.

Mengikut pertuduhan Abdul Azeez didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Setakat ini seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI