fbpx

Saham bomba, polis naik mencanak selepas perarakan merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENAMPILAN anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berjaya menarik perhatian orang ramai di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 sudah tiga hari berlalu, namun sehingga semalam ia masih hangat diperkatakan.

Sudah pasti yang menjadi tumpuan adalah acara perarakan pasukan beruniform secara gilang-gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Antara yang menjadi perhatian adalah abang bomba sado, penyertaan Polis Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sekumpulan anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9)PDRM yang memakai kasut but.

Difahamkan, buat kali pertama dalam sejarah PDRM, pasukan Berkuda disertai pegawai tertinggi iaitu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama kuda kesayangannya ‘Lord Rezza’.

Turut dipamerkan persembahan aset-aset darat, laut dan udara milik pasukan keselamatan dan pertahanan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Persiapan rapi dilakukan selama berhari-hari itu membuahkan hasil. Walaupun ia berlangsung selama tiga jam, tetapi pengunjung sedikit pun tidak berganjak termasuk mereka yang membawa anak-anak kecil walaupun berada di sana sejak pukul 4 pagi.

Bukan sahaja kanak-kanak terhibur, malah orang dewasa pun tersenyum walaupun terpaksa berpanas dan bersesak.

Bagi mereka, sambutan Hari Merdeka pada tahun lain daripada sebelum ini. Mungkin selepas dua tahun berkurung, kita lebih bersemangat untuk menyambut tarikh keramat itu lebih-lebih diadakan di Dataran Merdeka.

Seorang ibu memberitahu, anak lelakinya menukar cita-cita mahu menjadi pegawai polis selepas menyaksikan perarakan pasukan beruniform pada 31 Ogos lalu.

Sudah lama penulis rasa pasukan beruniform terutama PDRM tidak diberikan penghormatan sedemikian.

Pasukan itu selalu terpalit dengan isu integriti seolah-olah tiada satu pun sisi positif dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Seperti peribahasa dalam setandan pisang tidak semuanya busuk. Yang buat salah ada, tetapi jumlahnya tak ramai, namun itulah yang menyebabkan pasukan itu dipandang serong, tidak kurang juga ada berbentuk tohmahan.

Kadangkala penafian semata-mata tidak akan menjernihkan keadaan, malah menjadi bahan troll dalam kalangan pengguna media sosial.

Sepatutnya acara sebegini perlu lebih kerap diadakan supaya pasukan beruniform di negara ini terus dihargai dan diminati terutama golongan muda dan bukannya menjadi kerjaya pilihan kedua atau profesion pilihan ibu bapa.

Kepada semua warga pasukan beruniform yang menyertai perarakan di seluruh negara pada 31 Ogos lalu tahniah diucapkan. Anda telah melakukan yang terbaik. Malaysia Tanah Airku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI