fbpx

Alimuddin dilantik Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan MKI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alimuddin.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkuatkuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pelantikan Alimuddin diperkenan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali Ke-259 yang telah diadakan pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata, MRR turut berkenan menaik taraf Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), MKI kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan.

“Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi MKI pada 18 Ogos lalu.

“LEPAI sebelum ini diperkenankan penubuhannya oleh MRR yang ke-126 pada 24 Februari 1983. Antara fungsinya ialah bertanggungjawab menyelaras, menambah baik dan membantu segala perkara berkaitan pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah agama negeri dan sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh Malaysia,” katanya tadi.

Ujarnya, Jakim menaruh keyakinan Alimuddin dapat memimpin Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan untuk mencapai matlamat penubuhannya berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti beliau dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

Hakimah berkata, pihaknya mengambil kesempatan mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, mantan Pengerusi LEPAI atas khidmat baktinya bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI