fbpx

Treler terbalik tumpahkan 300,000 tomato

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRELER itu menumpahkan hampir 300,000 tomato ke jalan raya di California selepas mengalami kemalangan. - Peronda Lebuhraya California

SACRAMENTO, CALIFORNIA – Pemandu di negeri California, Amerika Syarikat bergelut dengan kesesakan lalu lintas yang teruk besar selepas sebuah treler membawa muatan tomato terbalik dan meliputi sebuah lebuh raya dengan cecair merah berair, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Treler dipenuhi tomato itu menuju ke arah timur di lebuh raya rentas negeri, Interstate 80 dekat bandar Vacaville apabila merempuh kenderaan lain pada pukul 5 pagi (waktu tempatan). Hampir 300,000 buah tomato tumpah dalam kemalangan itu, demikian menurut akhbar USA Today.

Tiga kereta terlibat dalam pelanggaran itu, manakala beratus-ratus lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan keadaan jalan yang licin.

Beberapa kenderaan yang cuba dipandu melalui jalan itu hilang kawalan dan terbabas tetapi tiada kecederaan parah dilaporkan, demikian menurut Peronda Lebuhraya California.

Pemandu treler dan dua individu lain dirawat di hospital berdekatan, lapor saluran berita CBS News.

Gambar-gambar di lokasi kejadian menunjukkan tiga lorong ke arah timur dan satu lorong ke arah barat dipenuhi tomato hancur ketika jabatan pengangkutan  negeri berusaha untuk membersihkan dan membuka semula lorong yang ditutup, kata Peronda Lebuhraya California (CHP).

Pemandu yang memandu antara San Francisco dan Sacramento mengalami kelewatan berikutan kemalangan itu.

“Jabatan Pengangkutan California (Caltrans) yang berada di lokasi kejadian bekerja keras untuk membersihkan dan membuka lorong secepat mungkin,” kata wakil CHP di Twitter.

Para pegawai terlebih dahulu terpaksa mengalihkan trak itu sebelum mula bekerja membersihkan lorong yang terjejas. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI