fbpx

Ismail Sabri lawat lokasi tragedi aliran puing di Kampung Iboi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri dalam lawatan kerjanya di lokasi tragedi aliran puing dan banjir di Kampung Iboi, Kupang hari ini.

BALING – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat Kampung Iboi, Kupang dekat sini yang menjadi lokasi paling teruk terjejas dalam kejadian aliran puing dan banjir pada 4 Julai lalu.

Sebaik tiba, Ismail Sabri melawat jambatan sementara jenis Bailey yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat dilanda arus deras tersebut.

Beliau kemudian diberi taklimat tentang tragedi tersebut dan tindakan susulan yang dilakukan pihak berkuasa dan agensi kerajaan oleh Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah.

Ismail Sabri dalam lawatan kerjanya itu turut menemui dan bertanyakan khabar penduduk kampung di situ.

Turut berada di lokasi ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau seterusnya melawat tapak pembinaan rumah baharu mangsa tragedi di Kampung Desa Keda Sadek di sini sebelum menghadiri Majlis Doa Selamat Sempena Kemerdekaan Negara ke-65 dan Pasca Banjir daerah Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang di sini.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka musnah dan lenyap sepenuhnya akibat dilanda aliran puing.

Tiga mangsa yang maut ialah wanita hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, serta anak Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.

Kejadian turut mengakibatkan 17 rumah yang terletak berhampiran Sungai Kupang lenyap sementara lebih 1,000 rumah terjejas akibat aliran puing dan banjir lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI