fbpx

DBKL kukuhkan kerjasama dengan Tokyo Metropolitan Government

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahidan.

PUTRAJAYA – Langkah-langkah tindak balas perubahan iklim ekstrem menjadi agenda utama yang ditekankan menerusi kerjasama yang terjalin di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tokyo Metropolitan Government (TMG).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, surat hasrat (LoI) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak itu bakal mengukuhkan lagi kerjasama untuk menjadikan hubungan tersebut bermanfaat bagi penduduk di kedua-dua bandar iaitu Kuala Lumpur dan Tokyo.

Menurutnya, antara lain TMG dan DBKL bersetuju untuk terlibat dalam pertukaran praktikal serta kerjasama menerusi bidang pembangunan infrastruktur bandar dan infrastruktur penuaan (aging infrastructure); langkah-langkah alam sekitar bandar dan perkara berkaitan cabaran teknologi bandar.

“Hari ini kita tanda tangan LoI di antara Kuala Lumpur dan Tokyo, banyak perkara yang diberi perhatian terutamanya mengenai pengurangan pelepasan karbon yang sekarang ini menjadi agenda dunia terutamanya berhubung perubahan iklim.

“Kita juga ada berbincang mengenai mitigasi banjir berkaitan ‘underground storage’ yang dilaksanakan di Tokyo dan ini merupakan sesuatu yang baharu bagi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani LoI di antara TMG dan DBKL serta taklimat berkaitan SMART Control Centre di Menara Sri Wilayah hari ini.

Terdahulu, DBKL menerima lawatan kerja daripada 13 delegasi TMG selama tiga hari bermula semalam sehingga esok dengan diketuai oleh Gabenor Tokyo, Koike Yuriko.

Selain itu, katanya, delegasi TMG turut dibawa untuk melihat dan diberi taklimat berkaitan SMART Control Centre.

“Mereka juga datang untuk melihat SMART tunnel yang merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka selain ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kegunaan terowong berkenaan bagi tujuan trafik dan banjir,”

Justeru Shahidan berharap jalinan kerjasama itu dapat menangani isu-isu berkaitan perubahan iklim ekstrem selain terus menggalakkan pertukaran dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI