PETALING JAYA – Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu dan bertindak segera untuk berhadapan dengan ramalan banjir besar yang mungkin berlaku pada November ini.
Jika berlaku hujan lebat seperti tahun lalu, penduduk di kawasan berisiko itu berharap agar kesannya dapat dikurangkan dan tidak seperti tahun lalu.
Antara persiapan yang diharapkan ialah dari segi pengurusan longkang atau parit tersumbat dan masalah pintu air rosak.

Di Shah Alam, Selangor penduduk sekitar di Taman Sri Muda, Kampung Padang Jawa dan Seksyen 23 khususnya, masih menanti tindakan drastik dilakukan pihak berkuasa untuk mengatasi kejadian bah besar daripada berulang.
Menurut seorang penduduk, Arif Abdullah, 48, bersedia atau tidak untuk sekali lagi menghadapi banjir bukanlah persoalan, namun apa dilakukan pihak berwajib untuk meredakan kebimbangan penduduk.
“Buat masa ini, tiada petunjuk tepat dari kerajaan tentang banjir besar bila akan berlaku. Saya lihat tiada penambakan ban sungai yang menyebabkan limpahan air sungai ke Seksyen 23.
“Tiada kerja-kerja mendalamkan sungai, tiada kerja-kerja membuat flood gate dan pemasangan pam,” katanya ketika ditemui di Seksyen 23 di sini semalam.
Berita berkaitan: La Nina bawa banjir besar November ini
Jelas Arif, notis awal atau pemakluman awal banjir besar bakal berlaku perlu diberikan supaya masyarakat dapat bersedia memindahkan barang bagi mengelakkan kerugian.
Bagi Mimi Hariani Alias, 43, mengakui dia tidak bersedia untuk menghadapi banjir besar sekiranya ia berlaku dalam masa terdekat.
“Ibu bapa saya uzur dan tidak mampu bergerak. Sudah pasti, berharap kepada usdaha-usaha yang dapat mencegah kejadian banjir daripada berlaku.
Kosmo! semalam melaporkan perubahan iklim ekoran fenomena La Nina dan luruan Monsun Timur Laut pada November depan dijangka mengakibatkan Malaysia berdepan dengan cuaca ekstrem termasuk banjir besar yang mengancam keselamatan penduduk di lima buah negeri.
Banjir besar diramal melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor.

Kerja-kerja membersihkan kawasan rumah yang ranap dipenuhi longgokan pokok dan lumpur dalam kejadian banjir di Kampung Iboi, Mukim Kupang, Kedah Julai lalu.
Di Bentong, Pahang, penduduk di sekitar Chegar Medang yang pernah berhadapan banjir besar hujung tahun lalu mula resah mengenai kemungkinan banjir besar berulang.
Zulmi Abdul Aziz, 58, berkata, dengan cuaca yang sudah mula tidak menentu membuatkan dia dan keluarga bimbang dengan bencana banjir yang boleh berlaku lagi hujung tahun ini.
“Selepas banjir besar pada hujung tahun lalu, berlaku lagi kali kedua banjir tetapi tidak berapa besar dan kini kami risau kali ketiga berlaku semula banjir yang besar,” ujarnya.
Selain itu, penduduk Kampung Iboi, Banting di Kedah, Safarina Napiah, 40, berkata, meskipun Kedah tidak tersenarai dalam ramalan tersebut, namun dia masih perlu berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Ujarnya, dia tidak dapat tidur lena sejak kejadian 4 Julai itu kerana masih dibayangi dengan tragedi yang telah menyebabkan dia bersama suaminya, Nazri Che Sa, 38, serta lima anak mereka tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, mereka sekeluarga kini masih tinggal di rumah sewa yang dilanda banjir itu dan bercadang untuk berpindah ke rumah baharu yang kini masih dalam pembinaan.
















