fbpx
PULUHAN burung kakak tua dilepaskan pemiliknya pada acara free fly di kawasan sawah padi di Pulau Pinang baru-baru ini.

Free fly jaga stamina burung kakak tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS meletakkan dua ekor burung kakak tua miliknya di atas sebatang kayu khas, Zairini Abd. Gani, 53, mula melakukan rutin yang biasa dilakukan sebelum acara free fly atau terbang bebas dilakukan.

Sambil meletakkan beberapa butir kuaci di telapak tangan, dia memanggil nama Pablo, seekor burung kakak tua jantan dan Ruby (burung kakak tua betina) miliknya beberapa kali.

“Sebelum acara free fly dimulakan, saya akan melakukan aktiviti pemanas badan iaitu dengan berdiri pada jarak beberapa meter dari tiang kayu dan memanggil nama Pablo dan Ruby.

“Kebiasaannya, apabila mendengar nama dipanggil, kedua-dua ekor burung kakak tua saya itu terbang dan hinggap di atas tangan saya dengan segera.

“Saya akan ulang aktiviti ini beberapa kali bagi memastikan kedua-duanya benar-benar sihat dan baik untuk terbang.

“Apabila sudah bersedia, barulah saya melepaskan Pablo dan Ruby bersama puluhan burung kakak tua lain milik rakan-rakan untuk acara terbang bebas,” katanya.

Zairini merupakan antara pemilik burung kakak tua yang menyertai acara terbang bebas anjuran Persatuan Penang Free Fly di Sungai Dua, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada 7 Ogos lalu.

Seramai 30 pemilik burung dari Pulau Pinang dan Kedah menyertai acara tersebut yang diadakan di sekitar kawasan sawah padi di lokasi berkenaan.

Menurut Zairini yang sudah 13 tahun berkecimpung dengan hobi tersebut, dia memelihara tujuh ekor burung daripada spesies kakak tua dan setiap seekor memiliki lesen dan dibeli dengan harga hampir RM10,000.

Disebabkan kesemua burung peliharaannya diletakkan di dalam sangkar khas, dia akan melepaskan haiwan itu untuk terbang setiap hari sama ada di kawasan rumah atau di tempat lapang.

“Apabila ada program free fly seperti ini, saya menjadi teruja untuk menyertainya bagi memberi peluang kepada burung peliharaan terbang bebas bersama kawanan burung kakak tua lain.

“Sebolehnya, saya ingin melihat setiap burung peliharan dapat terbang bebas sekerap mungkin seperti mana jika mereka hidup di habitat asalnya,” katanya.

BURUNG kakak tua direhatkan beberapa minit dan diberi makan dan minum sebelum dilepaskan kembali.

Dalam pada itu, penganjur program, Mohamed Fauzi Mohamed Jailani berkata, acara itu merupakan antara yang terbesar pernah dilaksakan oleh persatuan itu di Pulau Pinang.

“Aktiviti ini diadakan untuk memberi kebebasan kepada burung yang dipelihara untuk terbang di kawasan terbuka secara kawanan.

“Pada program ini juga, kami sebagai pemilik burung menggunakan kesempatan yang ada untuk bertukar-tukar pendapat khususnya berkaitan penjagaan haiwan itu.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan ativiti memelihara burung kakak tua untuk bertemu melatih burung peliharan mereka dalam acara terbang bebas,” katanya yang turut memelihara lapan ekor burung kakak tua sejak 13 tahun lalu.

Menurut Mohamed Fauzi, pada acara itu, setiap burung dibiarkan terbang bebas selama beberapa minit sebelum dipanggil oleh pemiliknya.

Bagi memastikan stamina burung sentiasa baik, haiwan berkenaan akan dibiarkan berehat selama beberapa minit dan diberi makan dan minum sebelum diterbangkan kembali.

Jelasnya, tujuan burung-burung berkenaan dibiarkan terbang beberapa kali adalah bagi memastikan haiwan itu kekal cergas.

Selain itu, ia dapat memantapkan deria agar dapat mengenali pemiliknya sama ada menerusi panggilan nama, tiupan wisel atau sebagainya.


SPESIES kakak tua yang dipelihara mempunyai lesen dan harganya mencecah ribuan ringgit seekor.

“Dengan adanya aktiviti seperti ini, ia memberi kepuasan kepada hobi memelihara burung terhadap pemiliknya. Ini kerana, bukan sahaja dapat berkumpul dengan rakan sehobi lain, tetapi melihat haiwan peliharan terbang bebas seolah-olah hidup di habitat liar,” ujarnya.

Katanya lagi, sehingga kini persatuan itu mempunyai hampir 40 ahli terdiri daripada pemilik burung berlesen melibatkan ratusan ekor burung daripada lebih sembilan jenis seperti green-wing macaw, blue-ring macaw,- sun corner, lovebirds, India ringneck, cockatoos, amazo, piocephalus, ciaques, parrot dan lain-lain.

Tambahnya, pihakya merancang untuk menganjurkan acara free fly itu dengan lebih kerap.

Ia bagi menarik minat orang ramai untuk turut memelihara burung kakak tua sebagai haiwan peliharaan di rumah, selain memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara spesies burung itu daripada menjadi mangsa pemburu haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN