fbpx

Banjir: 608 lokasi panas di Sabah dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak berkuasa sedang meninjau banjir di sebuah lokasi di Sabah.

KOTA KINABALU – Sebanyak 608 lokasi panas bencana banjir dikenal pasti di Sabah sepanjang musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong memaklumkan, pihaknya sudah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah membuat persediaan awal menerusi pelbagai aspek termasuklah keanggotaan serta logistik untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memantau isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi yang terbabit bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat berjalan lancar.

“Jawatankuasa sama tahun ini turut menyediakan sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa dan penghantaran bantuan di kawasan yang sukar diakses menerusi jalan darat.

“Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan seramai 8,432 pegawai dan anggota pelbagai agensi, diikuti sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air dan lapan logistik udara yang akan digerakkan apabila berlaku bencana.

“Kita sudah mengarahkan agar semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bersiap sedia dan hendaklah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di semua daerah pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri semalam melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di negeri ini.

Kehadiran Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Sabah sering menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti di daerah Beaufort, Tenom, Membakut, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI