fbpx

PM akan pilih masa sesuai untuk pilihan raya umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (kanan) dan Khairy (kiri) dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKKP Negeri Sembilan di sini, hari ini. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Banyak faktor dan sebab yang perlu diberi pertimbangan terlebih dahulu sebelum keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum dibuat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam hal itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah tentu tahu mengenai faktor dan sebab berkenaan melalui data serta maklumat pelbagai sumber.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ia akan mengambil masa yang panjang jika faktor dan sebab berkenaan hendak dijelaskan kepada umum.

“Saya fikir Perdana Menteri tahu sebab-sebab berkenaan dan akan membuat pilihan yang mana satu sesuai untuk diputuskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau turut menyentuh mengenai beberapa tindakan kerajaan seperti penetapan harga minyak dan penangguhan kenaikan tarif elektrik yang telah membawa kestabilan dalam negara.

Dalam nada yang sama, Khairy berkata, walaupun kerajaan hari ini dianggap sebagai sementara, namun ia telah berjaya keluar daripada krisis politik yang tercetus sebelum itu.

“Pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri lebih setahun lalu telah berjaya membawa kita keluar dari kemelut politik.

“Pencapaian ekonomi sebanyak 8.9 peratus untuk suku kedua tahun ini adalah paling hebat di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu membolehkan parti yang memerintah memasuki pilihan raya umum dengan lebih kukuh, hebat dan kuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI