fbpx

Malaysia bakal ada litar ujian jalan pertama di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong melakukan gimik pada Majlis Pecah Tanah MIROS Technology Test Track (MT3) di MIROS Sepang, KLIA di sini, hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

SEPANG- Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dijangka dapat menyiapkan Litar Ujian Teknologi (MT3) sepanjang satu kilometer menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tapak trek pengujian kenderaan darat itu yang dikenali sebagai Mirosplex juga akan dijadikan kompleks Miros serta dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk makmal.

“Selepas siap sepenuhnya, ia bakal menjadi litar pertama di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai ujian sistem keselamatan aktif dan pasif untuk kenderaan terlibat.

“Mirosplex juga akan dilengkapi dengan kemudahan blok pejabat, sejumlah makmal dalaman dan luaran selain kawasan pengujian,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah MT3 di Bandar KLIA di sini tadi.

Katanya, pembinaan litar itu juga selari dengan pelantikan Miros sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN yang akan menyumbang dan mempromosikan pengetahuan dalam kalangan negara serantau.

“Makmal MT3 di kompleks itu juga berpotensi menjadi pemangkin ke arah pencapaian lebih cemerlang sejajar Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP).

“Selain itu, pembinaan Mirosplex turut selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang dilancarkan pada 27 Januari lalu,” ujarnya.

Ka Siong menambah, fasiliti di kompleks turut memfokuskan kepada penggunaan kenderaan yang lebih selamat, isu kebolehjalanan sedia ada serta aspek keselamatan aktif dan pasif.

“Ia sejajar persediaan Malaysia ke arah penggunaan kenderaan generasi baharu digariskan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

“Jadi, pembangunan litar itu diharap dapat menarik pihak swasta dan agensi awam lain bekerjasama dengan Miros bagi memastikan kenderaan dikategorikan sebagai lebih selamat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI