fbpx

Mahkamah: Pendakwaan bermotif politik, balas dendam – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid hadir (tiga dari kiri) di Mahkamah Tinggi di sini bagi perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi./ FOTO MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih terhadapnya selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), empat tahun lalu.

Presiden UMNO berkata, selain beliau, lebih 20 pemimpin BN telah diheret ke mahkamah bagi menghadapi pendakwaan bermotif politik dan balas dendam manakala 15 pemimpin PH pula dibebaskan daripada pertuduhan masing-masing.

Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri, pada 9 Mei 2018, berlaku pertukaran kerajaan selepas BN gagal memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan sebulan selepas itu, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat terhadapnya.

Ahmad Zahid berkata, siasatan terhadap laporan itu sepatutnya mengutamakan isu yang merosakkan sistem keadilan dan penguatkuasaan, bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam oleh pemimpin yang mengambil alih kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, selain beliau, lebih 20 lagi pemimpin BN didakwa di mahkamah termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ujarnya, selain itu seramai 81 ketua bahagian UMNO turut didakwa atas pertuduhan memperolehi dana daripada sebuah organisasi di bawah pemerintahan BN.

Ahmad Zahid turut menyatakan, perkembangan itu juga menyaksikan pertuduhan terhadap 15 pemimpin PH termasuk Lim Guan Eng, R. Sivarasa dan Rafizi Ramli ditarik balik manakala pemimpin-pemimpin kanan BN pula didakwa di mahkamah.

“Jika ini bukan pendakwaan bermotif politik, saya tidak tahu apa lagi istilah yang digunakan kerana yang telah dituduh ditarik balik manakala pemimpin daripada parti yang kalah, diheret ke mahkamah.

“Pendakwaan terpilih ini adalah tanggapan saya dan persepsi umum. Kami yakin kepada mahkamah yang adil dan sistem perundangan yang betul,” ujarnya pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Presiden UMNO turut menyatakan, laporan kepada SPRM dibuat selepas PRU14 iaitu selepas kekalahan BN.

Ujar Ahmad Zahid, beliau menjadi mangsa pendakwaan bermotif politik kerana jawapan yang diperolehi daripada siasatan dijadikan asas kepada intipati pertuduhan.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI