fbpx

Luahan pembaca: Ramai yang mampu, tapi masih culas bayar zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAT Islam yang berkemampuan diwajibkan membayar zakat bagi membantu golongan lain yang memerlukan.

Saudara Pengarang,

Institusi zakat sememangnya penting dan menjadi antara badan yang berada di barisan hadapan, bergerak membantu dan menyantuni rakyat yang terjejas semasa kumpulan berkenaan memerlukan.

Ketika pandemik Covid-19, institusi zakat di seluruh negara telah menyalurkan bantuan hampir RM200 juta kepada asnaf dan golongan yang terkesan.

Di negeri Perak sahaja, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengagihkan zakat mencecah RM20 juta khusus kepada mereka yang terdesak dan sangat memerlukan.

Wang zakat yang diagihkan oleh MAIPk kepada asnaf yang berhak, datangnya daripada kutipan zakat harta, iaitu zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat tanaman, zakat pelaburan, zakat KWSP dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2021, 95 peratus atau RM187 juta kutipan zakat di negeri Perak datangnya daripada zakat harta, hanya 5 peratus atau RM10 juta hasil kutipan daripada zakat fitrah.

Pada masa ini, daripada 400,000 orang Islam di negeri Perak yang berada dalam kategori yang berkeupayaan membayar zakat harta, hanya 80,000 orang atau 20 peratus yang membayar zakat harta mereka di MAIPk.

Keadaan ini menunjukkan kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan membayar zakat harta masih rendah dalam kalangan rakyat. Angka kutipan dan bayaran zakat boleh dianggap sebagai petunjuk pencapaian ekonomi umat Islam.

Semakin tinggi tahap pendapatan masyarakat muslim dalam sesebuah negara, sepatutnya semakin banyak hasil kutipan zakat diperoleh untuk diagih dan dimanfaatkan kepada ahli masyarakat yang memerlukan.

Mohd Yakop Ikram
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI