fbpx

Demam berdarah Ebola muncul semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Virus Ebola boleh kekal di dalam sistem saraf pusat dan cecair badan mangsa yang terselamat dan merebak selepas tempoh yang lama. - AFP

KINSHASARepublik Demokratik Congo (DRC) berdepan  kemunculan semula virus Ebola selepas satu kes demam berdarah berkenaan disahkan pihak berkuasa kesihatan tempatan malam Isnin lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan.

Kes Ebola dikenal pasti selepas sampel daripada seorang wanita berusia 46 tahun di wilayah Kivu Utara, timur DRC disahkan positif selepas dia meninggal dunia pada 15 Ogos lalu.

“Analisis menunjukkan bahawa kes itu mempunyai kaitan genetik dengan wabak pada 2018 hingga 2020 di Kivu Utara dan Wilayah Ituri,” demikian menurut kenyataan WHO kelmarin. Saintis-saintis berkata,  virus Ebola boleh kekal di dalam sistem saraf pusat dan cecair badan mangsa yang terselamat dan merebak selepas tempoh yang lama.

“Kemunculan semula Ebola berlaku dengan lebih kerap di DRC sekali gus membimbangkan,” kata Pengarah WHO Afrika, Matshidiso Moeti dalam kenyataan tersebut. 

Beliau bagaimanapun menyuarakan  keyakinan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk membendung virus itu dan menghentikan penularannya seperti yang telah dilakukan beberapa kali pada masa lalu.

Katanya, pengesanan dan pemantauan kontak sedang dilakukan, manakala dua ratus vaksin akan dihantar ke kawasan itu minggu ini bagi memulakan kempen vaksinasi untuk membendung penularan Ebola, kata kenyataan sama.

Pihak berkuasa kesihatan bagaimanapun masih dalam proses  menentukan status vaksinasi wanita yang meninggal dunia itu.

Sekurang-kurangnya 131 kenalan wanita itu telah dikenal pasti termasuk 60 petugas penjagaan kesihatan barisan hadapan dengan  59 daripada mereka  telah diberikan  vaksin Ebola, kata kenyataan itu.

Hutan tropika padat Congo adalah takungan semula jadi untuk virus Ebola. Penyakit berbahaya itu menyebabkan demam, sakit badan dan cirit-birit.

DRC merekodkan 14 wabak Ebola sejak tahun 1976. Wabak 2018-2020 di timur DRC adalah yang terbesar di negara itu dan kedua terbesar dalam sejarah, dengan hampir 3,500 kes. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI