fbpx

RM2.83 juta barang kes perjudian, kontraban dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAID ketika melakukan gimik pelupusan barang kes di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

KAJANG – Ribuan barang kes membabitkan Ops Kontraban, Ops Dadu dan Ops Letrik bernilai RM2.83 juta dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pelupusan berkenaan melibatkan barang kes yang dirampas sejak tahun 2018 hingga 2022 membabitkan 170 kertas siasatan.

“Barang kes Ops Dadu (perjudian) melibatkan 2,386 buah set komputer dan laptop dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM477,500.

“Ops Kontraban (rokok/minuman keras tidak bercukai) pula melibatkan rampasan 12,121 tin minuman keras, 512 botol arak dan 15,556 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan sebanyak RM1.6 juta,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelupusan Barang Kes, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman.

Menurut Zaid, sebanyak 1,521 buah mesin bitcoin dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM760,500 turut dilupuskan.

Jelasnya, barang kes yang dilupuskan melibatkan kertas siasatan yang telah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya serta kelulusan Mahkamah Kajang di bawah Seksyen 406 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kesemua barang kes telah dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan kegiatan jenayah yang melibatkan elemen kontraban, aktiviti perjudian dan kegiatan melombong mesin bitcoin yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI