fbpx
Mangsa-mangsa banjir kilat di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 18 Disember tahun lalu. /FOTO AFIQ RAZALI

Penduduk Selangor perlu sedia hadapi banjir hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Penduduk di Selangor khususnya Taman Sri Muda, Seksyen 25 perlu bersedia menghadapi gelombang banjir sekali lagi sekiranya menghadapi cuaca buruk seperti Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, ini ekoran lokaliti Taman Sri Muda dikenal pasti sebagai paling rendah dengan menerima limpahan air dari hulu Sungai Klang di Gombak dan Kuala Lumpur apabila hujan lebat.

“Bagaimanapun, langkah jangka pendek sudah pun dilaksanakan seperti pembinaan ban di Sungai Klang dan Sungai Rasau bernilai RM2 juta selain penempatan 15 pam air termasuk dua jenis mudah alih di sana.

“Kerajaan negeri turut membeli set generator baharu sebagai ganti sekiranya pencawang elektrik di sana tidak berfungsi akibat ditenggelami air untuk menghidupkan pam dan pintu air, menerusi peruntukan tersebut,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan projek-projek utama tebatan banjir akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan yang bernilai keseluruhan lebih RM6 billion.

Ini termasuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM4.7 bilion untuk pelencongan air Sungai Damansara.

“Selain itu, projek tebatan banjir melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu juga akan dilaksanakan di Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Kapar Kecil dan Kapar Besar serta Sungai Kuyoh.

“Kesemua projek tersebut diselaraskan di bawah Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dengan matlamat asalnya untuk mengurus masalah pencemaran sungai dan gangguan bekalan air dan kemudiannya dikembangkan kepada pengendalian banjir dan kecemasan,” jelasnya.

Kata Izham, semua projek itu dibahagikan kepada fasa jangka pendek dan sederhana antaranya pembinaan kolam takungan air baharu di Taman Sri Muda berhampiran Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) bernilai RM15 juta di bawah JPS.

Ujarnya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula akan melaksanakan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) bernilai keseluruhan RM302 juta bagi tempoh 2022 hingga 2025.

“Sebahagian projek bernilai RM20 juta akan dilaksanakan di Taman Sri Muda pada bulan hadapan dan dijangka siap pada Mac 2023.

“Syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bersama Landasan Lumayan Sdn. Bhd. akan melaksanakan projek pendalaman Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari sempadan Selangor – Kuala Lumpur bernilai RM700 juta bermula Januari tahun depan juga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sungai di Taman Sri Muda akan didalamkan antara 30 hingga 50 peratus berbanding paras 1.5 meter sekarang.

“Projek ini bernilai keseluruhan RM155 juta dengan jangkaan keseluruhan siap dalam tempoh tiga tahun,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

POPULAR