fbpx
PUTERI AISHAH

Berisi? Kisah paling berat Puteri Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BELUM lagi (hamil), insya-Allah.”

Demikian ayat yang meniti di bibir Puteri Aishah ketika dilayang soalan sama ada dirinya sudah bersedia bertukar status menjadi ibu dalam masa terdekat.

Kedengaran klise, namun itulah realiti dalam kehidupan. Rasa ingin tahu itulah yang bakal dan sedang dihadapi mana-mana individu berkahwin, terutama selebriti popular.

Tidak memalingkan muka, apatah lagi melatah dengan soalan ‘cepumas’ tersebut, aktres yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Firdaus Sulaiman pada November tahun lalu itu reda, rezeki belum berpihak kepadanya.

Melanjutkan bicara, pemilik nama penuh Puteri Aishah Sulaiman itu dan suami tidak pernah merancang atau menetapkan sebarang tempoh untuk menimang cahaya mata.

“Kami tidak merancang pun soal anak, jika ada rezeki, terima saja.

“Malah kami juga tidak menetapkan sebarang tempoh untuk mendapatkan zuriat. Semua itu bergantung pada rezeki yang Allah SWT beri. Jika ada, kami akan kongsi,” katanya kepada HibGlam.

MENGGALAS watak utama sebagai Suraya, Puteri mengakui drama Demi arahan Rahila Ali antara naskhah paling berat yang pernah dijayakannya selain filem Pulang (2018).

Pada masa sama, pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu mahu memastikan ekonomi rumah tangganya stabil agar dapat memberi kehidupan lebih baik kepada zuriatnya kelak.

“Sebelum ada anak, kalau boleh kami nak stabilkan ekonomi rumah tangga terlebih dahulu sebab orang kata bila ahli keluarga sudah bertambah, komitmen juga semakin besar.

“Sebagai ibu bapa pastinya kami ingin berikan terbaik kepada anak-anak dan itulah yang saya dan suami sedang usahakan sekarang,” kongsi pelakon yang mesra disapa sebagai Puteri itu.

Tutup bicara soal cahaya mata, dramatis itu turut menjawab mengenai limitasinya sebagai pelakon selepas bergelar isteri.

Puteri bagaimanapun bersyukur kerana suami tidak meletakkan sebarang syarat untuknya.

Enggan terlalu selesa dengan kelonggaran tersebut, dia tetap menitikberatkan soal batas bersama mana-mana pelakon lelaki dalam sesebuah projek drama atau filem.

“Suami sangat memahami. Sebelum kahwin pun kami ada berbincang mengenai keinginan saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan.

“Biarpun dia tak cakap tetapi sebagai isteri, saya sendiri perlu peka dengan batasan yang sepatutnya,” ungkapnya.

Bintang filem Pulang itu juga bersyukur kerana tidak berhadapan dengan sebarang masalah setiap kali digandingkan dengan mana-mana aktor.

Ujarnya, jika merasakan sesuatu adegan agak keterlaluan, dia akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu bagi mencari cara lain untuk merealisasikannya.

“Setakat ini saya tak pernah terima atau memerlukan berlakon dalam babak keterlaluan mahupun intim dengan pasangan pelakon.

“Jika ada sekali pun, saya akan berbincang dengan pengarah,” jelasnya.

PUTERI dia tidak pernah merancang mahupun meletakkan sebarang tempoh tertentu untuk menimang cahaya mata.

Drama berat

Ditemui pada majlis pelancaran drama berjudul Demi, Puteri yang memegang watak sebagai Suraya memberitahu, naskhah tersebut merupakan antara paling berat pernah dijayakan.

Bergandingan dengan Keith Foo dan Ashraf Muslim, perjalanan melangsaikan drama tersebut sangat mencabar buat semua yang terlibat.

“Watak Suraya merupakan mangsa dera suaminya terutama dari segi mental. Cerita ini berdasarkan kisah benar, jadi untuk menterjemahkannya perlu penghayatan yang tinggi.

“Boleh dikatakan, setiap hari ada babak menangis. Mangsa sebenar untuk watak itu pun ada hadir ke set penggambaran dan berkongsi pengalaman bagaimana dia bawa anak lari dari Scotland ke Malaysia secara sembunyi.

“Kisahnya agak tragis sekali gus memberi nyawa terhadap karya ini,” katanya.

Kongsi Puteri lagi, bagi menyiapkan drama yang memulakan penggambaran sejak 2019 tersebut, pelbagai rintangan terpaksa dilalui pasukan produksi seperti Covid-19, perubahan lokasi dan pertukaran watak hero.

“Selepas dua tahun, akhirnya cerita ini berjaya disiapkan.

“Bermula penggambaran di Inverness, Scotland kemudian ada konflik watak lain. Kami juga berkejaran terpaksa pulang ke tanah air kerana Covid-19.

“Kemudian semuanya terhenti seketika dan mencari lokasi baharu pula. Agak sukar nak dapatkan mood dan jiwa selepas setahun terhenti.

“Apa pun syukur, semuanya selesai dan sudah mula ditayang sejak 10 Ogos lalu,” ujarnya.

Drama terbitan Elisa Vision Sdn. Bhd. tersebut turut dibintangi Ika Nabella, Puteri Rayyana Rayqa, Datuk Jalaluddin Hassan dan Safura Ya’cob.

MESKIPUN suami tidak meletakkan sebarang peraturan, Puteri tetap berjaga-jaga dan tidak melanggar batasnya sebagai seorang isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN