fbpx
VIDA dan Iqbal menjernihkan hubungan dan kembali berbaik.

‘Dulu dia Tanggang’, Vida, Iqbal hapus sengketa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Hampir setahun bermasam, sengketa ‘pelamin anganku musnah’ antara dua usahawan sensasi, Datuk Seri Vida dan Iqbal Zulkefli akhirnya terlerai.

Menerusi perkongsian dalam Instagram, Vida memuat naik sebuah video pertemuannya bersama Iqbal yang dilihat saling bermaafan sekali gus menjernihkan kembali ketegangan dan segala perang dingin antara mereka sebelum ini.

“Dengan segala kontroversi yang berlaku antara saya dengan Iqbal biarlah berlalu dan buka lembaran baharu.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan ada perancangan Allah yang lebih baik. Setiap apa yang berlaku saya reda, berserah dan saya harap pertemuan kali ini dapat memperbaiki kembali jalinan ukhwah yang telah lama terbina.

“Saya maafkan segala kesilapan dan masing-masing perbaiki diri. Saya nak berbaik dengan semua orang semua rezeki saya semakin lancar,” tulis Vida.

Dalam pada itu, Iqbal juga turut memuat naik videonya yang berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut bersama usahawan kosmetik itu.

Menurut Iqbal, dia nekad untuk mengalah dan menyatakan perjumpaan tersebut bukanlah satu lakonan atau drama yang sengaja direka-reka oleh mereka demi publisiti.

“Ada yang ingat ini drama buat-buat? Untuk marketing (pemasaran)?, tidak sama sekali. Jika ada yang perasan, lima tahun lepas kisah saya dengan Datuk Seri Vida pernah viral.

“Cuba baca, kenyataan saya tetap tidak berubah. Tidak mungkin drama ini diatur sejak lima tahun lalu lagi betul?

“Saya takut jadi fitnah lain kan dikata saya datang bawa sihir, saya rekod awal-awal hal sebenar. Apapun komen baik buruk, pendapat kalian, saya terima,” luah Iqbal.

Vida juga dilihat secara berseloroh mengatakan semasa tercetusnya kontroversi, Iqbal bersikap tidak matang, berbeza dengan sekarang.

“Dulu dia Tanggang,” kata Vida menerusi sebuah video yang tular dalam TikTok.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut mendapat respons Iqbal yang mengiakan gurauan Vida.

“Saya ni pun orang puji saya angguk, orang kecam saya angguk. Orang cakap Si Tanggang pun saya angguk,” kata Iqbal.

Video berkenaan turut menuai pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya senang hati dengan pertemuan tersebut selain berharap pasangan ‘cinta tidak kesampaian’ itu kembali berjodohan selepas ini.

“Syukur alhamdulillah suka tengok sikap dan kematangan keduanya. Allah izinkan untuk bersahabat kembali, semoga ikatan persahabatan keduanya kekal hingga ke syurga.

“Jadilah seorang yang pemaaf dan berlapang dada walau dalam apa jua situasi dan keadaan. Semoga lebih berjaya dimasa hadapan buat kedua-duanya,” komen netizen.

Terdahulu, Vida dan Iqbal pernah dikhabarkan bakal menikah pada tahun lalu, namun hajat mereka tidak kesampaian selepas berdepan dengan pelbagai kontroversi.

Selepas putus cinta, Iqbal sempat merakam sebuah lagu bertajuk Hujan dan membawa diri ke Jakarta, Indonesia untuk beberapa bulan sebelum menyertai Big Stage 2022. – KOSMO! ONLINE

POPULAR