fbpx

PESZTA pamer karya penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Projek Merdeka 118 bukan sahaja menjadi mercu tanda buat negara tetapi memberi pelbagai ruang dan peluang kepada mereka yang kreatif untuk menghasilkan projek bermanfaat kepada masyarakat.

PETALING JAYA –  PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNB Merdeka Ventures), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Think City, mengalu-alukan orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat untuk menghidupkan semangat patriotik sambil berhibur di acara PESZTA. 

Program itu akan berlangsung pada 27 Ogos ini di Kampung Attap, Kuala Lumpur yang terletak di presint Merdeka 118 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 tidak lama lagi.

Festival ini akan menampilkan pelbagai program menarik antaranya persembahan hiburan, pasar komuniti, pameran dan trak makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Datuk  Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pembangunan Merdeka 118 perlu terus berintegrasi dengan masyarakat sekelilingnya dan pihaknya berbesar hati untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 bersama pelbagai lapisan komuniti di presint tersebut.

“Sebagai pemilik Stadium Merdeka, visi kami adalah untuk menyemarakkan semula semangat kemerdekaan bagi seluruh rakyat Malaysia dan PESZTA menzahirkan salah satu daripada pelbagai inisiatif kami untuk mencapai objektif ini.

“PESZTA juga merupakan platform bagi penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118 untuk mempamerkan karya seni, aktiviti berilhamkan warisan dan produk buatan sendiri mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ab. Aziz menjelaskan, sepanjang festival tersebut, para pengunjung boleh mengunjungi festival ini dan menyelami sejarah Malaysia menerusi pameran interaktif anjuran PNB Merdeka Ventures mengenai aktiviti-aktiviti yang telah diadakan di Stadium Merdeka.

Pameran ini memaparkan tayangan video bersejarah, lawatan maya 360 darjah ke Stadium Merdeka serta usaha-usaha pemuliharaan stadium berkenaan.

PESZTA lahir daripada Program Geran Komuniti Merdeka 118 yang telah diadakan sejak kitaran pertama dilancarkan pada bulan Jun 2021 yang lalu. 

Festival ini dianjurkan dengan kerjasama pihak berkepentingan yang mewakili kerajaan,sektor swasta serta karyawan tempatan dan komuniti. 

Ia turut merangkumi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pentago House, Bangunan Zhongshan Building, Sam Mansion dan Yayasan Jepun KL (JFKL). -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI