fbpx

Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda berkenan bersalaman dan bertegur sapa dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah, hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Dalam pada itu, ketibaan Seri Paduka Baginda pula disambut Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud.

Solat Jumaat itu diimamkan Ustaz Dr. Khalid Isa yang turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Tanggungjawab memelihara al-Quran’.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berkenan bersalaman dan bertegur sapa dengan jemaah selain memberi ampun kurnia kepada pelajar dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Smista).

Untuk rekod, Masjid Al-Sultan Abdullah yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa, siap dibina pada 2023 dan dimasyurkan pada 10 Januari lalu oleh Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI