fbpx

Bekas jurulatih Sime Darby, UiTM FC, Ismail Zakaria meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL menghembuskan nafas terakhirnya tengah hari tadi selepas terkena serangan jantung. - FB FAM

ARENA bola sepak negara kehilangan seorang lagi permata selepas bekas Ketua Jabatan Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ismail Zakaria dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, tengah hari tadi.

Selain sering mengetengahkan pemain muda, Allahyarham pernah mencipta beberapa kejayaan di pentas Liga Malaysia (Liga M) termasuk membantu Sime Darby muncul juara Liga FAM 2010 dan paling diingati adalah dinobatkan naib juara Piala FA 2012 serta naib juara Liga Premier 2013.

“Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan, Ismail Zakaria telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 60 tahun di sebuah hospital swasta di Cheras Selatan, tengah hari tadi akibat serangan jantung.

“Allahyarham merupakan seorang jurulatih bola sepak yang cukup berpengalaman dengan turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan antaranya Sime Darby FC, Kuala Lumpur, Kuantan FA dan UiTM FC.

“Selain itu, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2017 dan menjadi instruktur bagi kursus-kursus kejurulatihan,” menurut kenyataan daripada FAM.

Selain mencurahkan ilmu dan memberi peluang kepada pemain muda, Allahyarham juga sering diingati dan pernah menjadi individu paling ke depan memperjuangkan nasib pemain yang dihimpit masalah tunggakkan gaji.

Sementara itu, UiTM FC turut meluahkan kesedihan atas pemergian Ismail dan sumbangannya akan terus dikenang.

“Kami dari seluruh warga UiTM FC ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Jurulatih UiTM FC 2019, Allahyarham Ismail Bin Zakaria yang baru sahaja meninggal dunia tengah hari tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman. Jasamu dikenang Coach, Al-Fatihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI