fbpx
UYAINA (kiri) hari ini berkongsi khabar duka pemergian Attaful Uzair (kanan) akibat serangan jantung malam tadi.

Abang sulung Uyaina meninggal dunia, sama tarikh hari jadi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.”

Demikian luahan pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad mengenai pemergian abang sulungnya, Mohd. Attaful Uzair Arshad, 35, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, pukul 9 malam tadi.

Khabar duka tersebut dikongsi pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29, itu menerusi Instagramnya, pagi tadi.

Mohd. Attaful yang bertugas sebagai doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dipercayai mengalami serangan jantung ketika menjalani aktiviti berbasikal.

Dalam hantaran tersebut, Uyaina meluahkan rasa tidak percaya dengan pemergian insan kesayangannya itu memandangkan mereka baru meluangkan waktu bersama malam tadi.

Katanya pada pertemuan berkenaan, Allahyarham meninggalkan pelbagai pesanan berikutan keadaan dirinya yang sarat hamil dan bakal melahirkan dalam tempoh terdekat.

“Pulangnya abang sulungku ke negeri abadi. Bertemu Sang Pencipta. Baru semalam kami berjumpa, makan sama-sama, bersembang dan gelak sama-sama. Macam-macam dia pesan. Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.

“Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah Baba (ayah) sewaktu dia meninggal dunia. Terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata, kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang,” tulisnya.

Lebih menyedihkan, luah Uyaina, tarikh pemergian abangnya bersamaan hari ulang tahun kelahiran ibu mereka, Siti Noor Farah Jaafar, hari ini.

“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi (panggilan untuk ibu). Lama dia rancang nak sambut hari jadi Ummi. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya. Allahuakbar,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada empat bersaudara itu, Allahyarham yang memiliki keperibadian istimewa turut menjadi contoh kepada dia, kakak; Saidatul Najla Umaira dan seorang lagi abangnya, Kapten Azameer Uzreem.

“Orang baik selalu pergi dulu. Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.

“Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia dah beri contoh yang baik untuk kami adik-adik.

“Dia masuk asrama, kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran, kami semua nak berjaya dalam pelajaran.

“Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti untuk Ummi. Dia baik. Dia pemurah. Dia penyayang,” tulisnya lagi.

Dalam hantaran sama, Uyaina turut meminta pengikut Instagramnya menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah selain mendoakan kekuatan buat isteri serta anak-anaknya.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Angkatan Tentera Malaysia Sultan Mizan selepas solat Jumaat hari ini. – KOSMO! ONLINE

POPULAR