fbpx

Lelaki Singapura, kekasih edar syabu berdepan tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loh Kok Kiong (kiri) dan teman wanitanya, Soh Yong Xin, didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini.

Bagi pertuduhan pertama, Loh Kok Kiong, 49, dan Soh Yong Xin, 32, didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat kasar 9.625 kilogram (kg) di Blok F-21-10, Ataraxia 2, Jalan Forest City 15, Forest City, Gelang Patah di sini, pada pukul 11.15 pagi, 9 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu mengaku tidak bersalah memiliki ketamin seberat 666 gram (g) di lokasi sama dan pada waktu serta tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah yang sama, lelaki warga Singapura itu menghadapi empat lagi pertuduhan mengedar, memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada tarikh yang sama.

Kok Kiong menghadapi dua pertuduhan iaitu mengedar 1.505kg methamphetamine dan 139g nimetazepam pada pukul 1.30 petang di B-21-12, Residensi Lapan, Jalan Sutera Kuning, Taman Sutera di sini.

Tertuduh itu mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi dua pertuduhan dihadapinya.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan.

Selain itu, dia didakwa memiliki 100g ketamin pada pukul 11.15 pagi di kawasan letak kereta berhadapan Blok F, apartment sama di Forest City, Gelang Patah di sini.

Manakala, bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu mengaku tidak bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam dirinya pada pukul 10.30 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dihukum Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan patalogi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI