fbpx
MEVLUT CAVUSOGLU (kanan) berjabat tangan dengan Yair Lapid semasa pertemuan mereka di Ankara pada 23 Jun lalu. - AFP

Israel, Turkiye pulih hubungan diplomatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA – Israel dan Turkiye mengumumkan penyambungan semula hubungan diplomatik sepenuhnya  kelmarin selepas ketegangan berlarutan selama bertahun-tahun.

Perdana Menteri Israel,  Yair Lapid memuji langkah itu sebagai ‘aset penting untuk kestabilan serantau dan berita ekonomi yang sangat penting kepada rakyat Israel.

Keputusan tersebut akan menyaksikan duta kembali dihantar ke Turki dan Israel, manakala penerbangan terus juga disambung semula.

“Lapid bercakap menerusi panggilan telefon bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, di mana mereka bersetuju langkah ini akan membawa kepada banyak pencapaian  terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelancongan,” kata pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan.

Pengumuman mengenainya dibuat beberapa bulan selepas usaha  memperbaiki  hubungan dua hala dilakukan termasuk  kunjungan timbal balas  oleh pegawai-pegawai atasan.

Menteri Luar Turki,  Mevlut Cavusoglu berkata, penghantaran semula duta masing-masing penting untuk memperbaiki hubungan dua hala,  namum berikrar bahawa Ankara akan tetap “mempertahankan” hak Palestin.

Mevlut pada Mei lalu, menjadi Menteri Luar Turki pertama melawat Israel dalam tempoh 15 tahun.

Semasa lawatan bersejarah oleh Presiden Israel, Isaac Herzog ke Ankara dua bulan sebelumnya pula,  Erdogan mengisytiharkan pertemuan mereka sebagai ‘titik perubahan dalam hubungan kedua-dua belah pihak’.

Hubungan dua hala Turki dan Israel mula renggang pada 2008, berikutan operasi ketenteraan Israel di wilayah Semenanjung  Gaza.

Hubungan dua hala itu terhenti pada 2010 selepas kematian 10 orang awam apabila Israel menyerbu kapal Turki,  Mavi Marmara. Kapal itu adalah sebahagian daripada armada kecil  yang cuba melanggar kepungan Rejim Zionis untuk membawa bantuan ke Gaza.

Penilaian semula hubungan Ankara-Tel Aviv berlangsung dari 2016 hingga 2018, apabila Turki menarik balik dutanya dan mengusir duta Israel  berhubung pembunuhan rakyat Palestin. Lebih 200 warga Gaza ditembak mati oleh tentera Israel semasa protes sempadan dari tahun 2018 hingga 2019.

Hubungan Israel dan Turki bagaimanapun semakin pulih selepas Herzog memegang jawatan Presiden pada Julai 2021.

Israel melaksanakan kepungan ke atas 2.3 juta penduduk Gaza sejak tahun 2007. – AFP 

POPULAR