fbpx

‘Hilang’ satu, dapat dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG (kiri) kini menjadi harapan negara bersama Zii Jia dalam acara badminton perseorangan lelaki.

“Pada setiap apa yang kita hilang, akan ada suatu yang kita dapat dan pada setiap apa yang kita dapat, ada yang kita hilang.” Itu kata pujangga Inggeris yang pernah diungkapkan Ralph Waldo Emerson.

Sebenarnya pepatah seumpama ini sudah sering kita dengar tetapi kebanyakan orang tetap cepat melatah apabila berlaku kehilangan.

Baru-baru ini kita telah ‘kehilangan’ khidmat pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia yang dijadikan sandaran pingat emas di Sukan Komanwel apabila dia menarik diri kerana mahu fokus kepada Kejohanan Dunia – suatu kejohanan yang Malaysia masih kempunan gelaran sepanjang sejarah sejak dilangsungkan pada tahun 1977.

Maka, terdengarlah tempelak daripada ramai orang yang berasa kecewa dan tidak kurang juga yang menyifatkan penarikan diri Zii Jia itu sebagai tidak patriotik.

Namun, sedar tidak sedar, natijah penarikan itu telah memberi laluan kepada bersinarnya bintang badminton lain, Ng Tze Yong yang sebenarnya berpotensi, tapi kurang digantungkan harapan dan dianggap sekadar pemain kedua biarpun dia adalah pemain utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tze Yong mengembalikan kepercayaan diberikan dengan begitu cemerlang. Pemain No. 42 dunia itu telah membantu negara meraih pingat emas acara berpasukan dan menunjukkan kemampuan menumbangkan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura serta pemain India yang juga bekas No.1 dunia, Srikanth Kidambi, sekalipun hanya meraih perak bagi kategori perseorangan.

Dalam aksi final perseorangan yang membanggakan itu, Tze Yong tewas selepas memberi tentangan sengit rubber set kepada pemain no.10 dunia, Lakshya Sen, lawan yang pernah Tze Yong kalahkan semasa mereka sama-sama di peringkat junior iaitu di BWF World Junior Mixed Team Championship 2018.

Penulis secara peribadi melihat penarikan diri Zii Jia itu sebenarnya telah beri impak baik yang besar demi perkembangan sukan badminton negara.

Ia telah mempercepat perubahan dan memecahkan pola ‘badminton Malaysia’ yang sudah sekian lama lebih banyak tertumpu dan mengharapkan kepada seorang pemain utama sahaja sehingga pemain-pemain berpotensi lain terus tenggelam dengan jurang ranking yang begitu jauh, sekali gus menjadi ‘musuh’ yang menggagalkan Malaysia menggapai piala berprestij yang memerlukan kekuatan berpasukan seimbang seperti Piala Thomas.

Jika penarikan itu tidak berlaku, sampai ke sudahlah trend ini akan berlarutan.

Sedarkah kita bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara kuasa besar badminton yang miliki seorang sahaja pemain perseorangan lelaki yang tersenarai dalam top 25 berbanding Taiwan dan Thailand (dua), Indonesia dan Jepun (tiga), Denmark, China dan India (empat), sekali gus bukan satu yang mengejutkan bila India menjulang Piala Thomas baru-baru ini.

Pemain muda negara-negara lain contohnya, India dan Thailand, bahkan terus diketengahkan dan mendaki tangga sehingga berjaya memintas kedudukan ‘abang-abang’ mereka sedangkan pemain-pemain muda kita juga tidaklah begitu jauh beza kehandalannya semasa mereka di peringkat junior. Malaysia bukan tidak pernah melahirkan juara atau unggulan-unggulan di peringkat remaja, tetapi di mana mereka sekarang?

Memang ranking bukan penentu kemenangan, tetapi ranking yang rendah telah mengurangkan pengalaman bermain bersama jaguh-jaguh handalan sekali gus tidak dapat menguji sejauh mana keupayaan dalam landskap sebenar badminton bertahap tinggi. Sudahnya, potensi seseorang pemain semakin malap, lantas terperam dan pemain negara yang sudah berada dalam ranking tinggilah yang berterusan ‘diperah’ khidmatnya.

Kejayaan Tze Yong meletakkan Malaysia kini mempunyai dua hero, sekali gus memberi keterujaan negara sehingga beberapa hari lalu BAM tidak sabar mencari siapa pula selepas Tze Yong. Adakah situasi ini berlaku jika Zii Jia yang bertanding di Sukan Komanwel lalu? Mungkin tidak.

“Kepada Lee Zii Jia, anda telah buat keputusan yang betul, semua orang benci keputusan itu tetapi kini semua berterima kasih kepada anda,” ciap seorang peminat badminton tanah air.

“Malaysia kini mempunyai dua pemain perseorangan lelaki yang kompeten,” simpul pengulas badminton terkenal, Oma Gill merujuk kepada Zii Jia yang merupakan pemain No. 5 dunia dan Tze Yong.

Bagi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun minggu depan, penyandang juara, Kean Yew masih berpeluang mempertahankan kejuaraannya, tetapi hasrat juara dunia perseorangan wanita 2019, P.V Sindhu untuk merampas gelaran itu musnah berkecai setelah menjadi mangsa cedera Sukan Komanwel. Ini membuktikan, tiada salahnya mengambil keputusan untuk ‘berjaga-jaga’ tentang kondisi diri ketika tarikh Kejohanan Dunia begitu hampir.

Kepada Zii Jia, Tze Yong serta semua pemain Malaysia, didoakan semoga berjaya di Kejohanan Dunia dan membawa pulang hadiah termanis untuk negara di bulan kemerdekaan ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI