fbpx

Bapa meninggal dunia 6 hari sebelum anak dapat keputusan cemerlang STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASYITAH Mat Bukri menunjukkan keputusan cemerlang STPM yang diperolehnya ketika ditemui di SMAP Labu, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya itu hari ini bersedih kerana tidak dapat berkongsikan kegembiraan itu dengan bapanya yang meninggal dunia enam hari yang lalu.

Masyitah Mat Bukri, 20, dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu di sini memberitahu, arwah bapanya, Mat Bukri Nahri, 53, yang bekerja sebagai tukang paip meninggal dunia akibat kemalangan berdekatan Taman Layang-Layang, Selayang, Selangor pada 13 Ogos lalu ketika menaiki motosikal untuk pulang ke rumah.

“Arwah bapa baharu sahaja meninggal dunia enam hari lalu, dia sempat melihat keputusan peperiksaan semester ketiga saya pada 10 Ogos lalu dan dia ucapkan tahniah kepada saya. Dia juga gembira dan sempat berpuasa sunat tiga hari.

“Bapa seorang yang tidak banyak bercakap, bagaimanapun dia sering berpesan dan dia mahu melihat saya menyambung pelajaran kerana tahu potensi saya belajar dalam bidang aliran agama. Keputusan cemerlang ini hadiah untuk arwah bapa saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Masyitah memaklumkan, dia mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 bagi ke empat-empat mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Arab, Syariah dan Sejarah.

Dia juga memberitahu bahawa dia sebelum ini turut mendapat keputusan cemerlang 7A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah menerima tawaran biasiswa penuh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang Diploma Sains Komputer di sebuah politeknik.

“Bagaimanapun, atas nasihat arwah bapa yang mahu saya meneruskan pelajaran dalam aliran agama saya memilih untuk meneruskan Tingkatan 6 di SMAP Labu ini. Arwah bapa pesan jika ambil STPM saya tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyambung pelajaran di universiti nanti.

“Arwah bapa juga sering berpesan untuk tidak bimbang mengenai kewangan kerana dia mempunyai simpanan namun, dia hanya mahu saya belajar dengan bersungguh-sungguh dan mengutamakan ibadat,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perbankan Islam di Universiti Malaya (UM).

Dalam pada itu, ketika diminta berkongsikan rahsia mendapat keputusan cemerlang, Masyitah memaklumkan selain doa daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan, dia juga sering fokus di dalam kelas.

“Saya seorang yang fokus ketika berada di dalam kelas. Saya juga sering menerangkan apa yang saya fahami kepada rakan yang lain.

“Sekiranya rakan lain tidak faham, saya akan bantu menerangkan kepada rakan-rakan. Saya juga sering memohon doa daripada guru-guru dan kawan-kawan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI