fbpx

Untung bersih Sime Darby RM1.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jeffri Salim

PETALING JAYA – Sime Darby Berhad melaporkan untung bersih berjumlah RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, berbanding RM1.4 bilion pada tahun kewangan 2021 yang mengambil kira keuntungan RM272 juta daripada penjualan kepentingan dalam Tesco Malaysia.

Tanpa mengambil kira hasil jualan tersebut, untung bersih Kumpulan menyusut 4.3 peratus disebabkan untung yang lebih rendah bagi perniagaan Perindustrian dan Automotif di China, akibat kemerosotan jualan seluruh industri peralatan berat, kekangan inventori dan sekatan Covid-19.

Hasil pula merosot kepada RM42.5 bilion bagi tahun yang dilaporkan berbanding RM44.3 bilion pada tahun kewangan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya bagaimanapun mengakhiri tahun kewangan 2022 dengan baik setelah merekodkan untung bersih RM278 juta bagi suku tahun keempat, hampir 32 peratus lebih tinggi hasil disokong peningkatan keuntungan bahagian Perindustrian dan perbelanjaan cukai lebih rendah.

“Kami melaporkan keuntungan berjumlah lebih satu bilion ringgit tahun ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran disebabkan gangguan rantaian bekalan serta kos operasi yang lebih tinggi akibat masalah buruh.

“Kejayaan terbesar bagi tahun kewangan 2022 ialah pembukaan kilang pemasangan untuk Porsche di Kulim, yang merupakan kilang pertama jenama ini di luar Eropah.

“Kilang tersebut membekalkan Porsche Cayenne yang dipasang di dalam negara bermula Mac tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bayaran dividen Sime Darby bagi tahun kewangan 2022 berjumlah 11.5 sen sesaham atau RM783 juta, meliputi 71 peratus daripada untung bersih.

Jeffri Salim berkata, pihaknya tetap fokus kepada pelaksanaan pelan untuk merasionalisasi bahagian bukan teras.

“Pada masa depan, kami berhasrat menjadi sebuah entiti yang tertumpu, dengan dua pemacu pertumbuhan mantap iaitu automotif dan peralatan berat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI