fbpx

Awas, pembuli boleh berubah jadi kepala gengster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR AZIAH MAT NOH,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KES pukul dan buli dalam kala­ngan masyarakat dilihat semakin berleluasa, seolah-olah menjadi satu keutamaan untuk menyelesaikan sesuatu konflik atau perselisihan faham.

Baru-baru ini, akhbar me­la­porkan dua pekerja bengkel kimpalan ditahan selepas disyaki memukul seorang ustaz dan pelajar pusat tahfiz di Kuala Lipis, Pahang angkara tidak ber­puas hati soal pembayaran yuran.

Selain itu, tujuh termasuk enam pelajar perempuan ber­usia lingkungan 13 hingga 16 ta­hun turut ditahan di Kota Kinabalu, Sabah selepas tular rakaman video seorang pelajar perempuan dibelasah di sebuah kawasan lapang.

Motif berhubung kejadian berkenaan masih belum diketahui, namun penyelesaian menggunakan ‘buku lima’ turut menjadi pilihan individu berkenaan.

Menerusi statistik oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Pe­nyakit di Amerika Syarikat, kes pembunuhan akibat keganasan serta kekerasan fizikal berada di tangga ketiga dan kelima sebagai punca utama bagi individu ber­usia satu hingga 44 tahun.

Sementara itu, Bukit Aman turut mengeluarkan statistik yang menunjukkan sebanyak 38 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari lalu.

Daripada jumlah itu, lapan kes dilaporkan di Pahang, manakala tujuh kes di Terengganu. Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan pula masing-masing merekodkan empat kes.

Selebihnya adalah Selangor (tiga), Johor (dua), Kedah (dua), Kuala Lumpur (dua) dan Perlis sebanyak dua kes.

Ini jelas menunjukkan masa­lah keganasan fizikal di negara ini berada di ambang yang membimbangkan, sekali gus memberi petanda kepada kegagalan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, kesan akibat penderaan fizikal terhadap seseorang individu pula antara­nya adalah masalah emosi, ke­sukaran untuk memahami pe­rasaan orang lain serta wujud nilai agresif dan panas baran.

Isu ini juga boleh menyebabkan mangsa menjadi lemah dalam hubungan sesama sendiri, akademik dan juga pekerjaan.

Lebih menyedihkan, ia juga boleh menyebabkan wujud gang­sterisme dalam kalangan masyarakat khususnya individu yang lebih muda.

Mengulas berhubung isu ini, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, keganasan fizikal serta gangsterisme kebiasaannya bermula dalam kalangan remaja.

“Ia bermula dengan kegiatan buli serta memeras duit sehingga wujud faktor luar yang boleh menyebabkan seseorang atau se­kumpulan pelajar itu terdedah kepada gangsterisme.

“Meskipun masalah tidak aktif dan seteruk dahulu, ia sebenarnya­ masih wujud di sekolah,” kata­nya kepada Kosmo!.

Menurutnya, hal ini boleh menjadi barah dalam masyarakat apabila wujud faktor khususnya anasir luar seperti kumpulan gangster berstruktur yang mempunyai tanda/sign kumpulan ha­ram, secret society kongsi gelap dan sebagainya.

Jelasnya, terdapat sesete­ngah kumpulan gangster yang mengambil kesempatan untuk merekrut pelajar sekolah sebagai ahli kumpulan.

“Justeru, usaha pembendu­ngan perlu dilaksanakan di setiap sekolah seperti kempen keseda­ran untuk memberi pe­ngetahuan kepada pelajar sekolah.

“Selain itu, sekolah-sekolah juga perlu bekerjasama dengan polis untuk memberi informasi berhubung kumpulan yang terlibat bagi mengelak ia menjadi masalah besar,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI