fbpx

Warga emas ditinggalkan selepas gagal keluarkan wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang lelaki warga emas ditinggalkan di bank oleh tiga lelaki selepas cubaan mengeluarkan wang simpanan mangsa berjumlah RM30,000 gagal, semalam.

Anak mangsa yang ingin dikenali sebagai Syafik, 30, berkata, taktik itu tidak berjaya apabila dia terlebih dahulu telah meminta pihak bank untuk menyekat akaun bapanya yang berusia 82 tahun.

Jelasnya, sebelum kejadian ibunya ada memaklumkan mengenai kedatangan tiga lelaki ke rumah mereka di Ayer Molek di sini dan mendakwa berminat untuk membeli tanah keluarganya.

“Lelaki itu datang pertama kali pada Jumaat lalu dan memperkenalkan diri sebagai wakil dari sebuah syarikat telekomunikasi.

“Mereka mendakwa kononnya berminat untuk membeli tanah ayah seluas 1.2 hektar bagi projek memasang menara telekomunikasi dan datang semula semalam bagi membawanya ke bank kira-kira pukul 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, lelaki tersebut turut memperdayakan ibunya dengan memberitahu telah mendapatkan kebenaran daripadanya untuk membawa warga emas itu ke bank.

“Saya kemudian cari ayah di beberapa cawangan bank termasuk CIMB Bank di Bukit Baru serta di Bandar Hilir, namun gagal.

“Pada pukul 1 tengah hari ayah pulang ke rumah menaiki teksi memberitahu lelaki itu meninggalkannya selepas gagal mengeluarkan wang RM30,000, mereka juga menyuruh ayah memberitahu pegawai bank wang tersebut ingin digunakan bagi ubah suai rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan dibuat anak mangsa berkaitan kes itu di Balai Polis Tiang Dua dan di Balai Polis Bandar Hilir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI