fbpx
Gambar hiasan

Tze Yong bintang harapan negara di pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka penampilan pemain tidak ternama, Ng Tze Yong yang langsung tidak diberi harapan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, pulang ke tanah air dengan penuh bangga selepas meraih pingat perak perseorangan lelaki.

Tze Yong hadir ke Birmingham 2022 sebagai pengganti kepada pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang tidak menyertai Sukan Komanwel kerana mahu fokus kepada Kejohanan Dunia di Jepun yang bermula 22 Ogos ini.

Menariknya, kehadiran Tze Yong dalam pasukan Malaysia langsung tidak diberikan sebarang harapan sehinggalah pemain berusia 22 tahun itu bertembung dengan bekas jaguh No. 1 dunia dari India, K. Srikanth dalam acara akhir berpasukan campuran.

Apa yang menakjubkan, Tze Yong memainkan peranan penting apabila menewaskan Srikanth untuk memberi kemenangan Malaysia 3-1 ke atas India, sekali gus menyaksikan eksploitasinya meledak dalam acara perseorangan lelaki.

Dalam acara perseorangan lelaki, bintang meningkat naik dari Johor itu seolah-olah menikmati kisah dongeng apabila menewaskan juara dunia 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew pada suku akhir sebelum sekali lagi tampil luar biasa membenam finalis Kejohanan Dunia, Srikanth pada separuh akhir.

Bagaimanapun, Tze Yong hampir melengkapkan skrip sempurna pada perlawanan akhir menentang jaguh di ranking No. 10 dunia dari India, Lakshya Sen, namun akur pengalaman memisahkan mereka dalam pertembungan tersebut.

Nampaknya, Tze Yong berjaya membuktikan dirinya bukan hanya bidan terjun, sebaliknya menjadi inspirasi kepada Malaysia untuk merampas semula pingat emas dalam acara berpasukan campuran dengan menewaskan India 3-1, sekali gus menawan hati rakyat seluruh negara.

Meskipun Zii Jia merupakan pertaruhan terbaik Malaysia untuk menjulang kejuaraan pada Kejohanan Dunia, namun penulis percaya mata serta fokus semua peminat sukan badminton kini tertumpu kepada rakan senegara, Tze Yong yang lebih bersinar di Birmingham.

Berdasarkan undian Kejohanan Dunia, laluan Tze Yong bukan mudah apabila perlu menempuhi nama besar seperti jaguh No. 1 dunia dari Denmark, Victor Axelsen; bintang Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama.

Bagi tahap seperti Tze Yong, pertembungan dengan pemenang gelaran Malaysia Masters dari Indonesia bulan lepas, Chico Aura Widoyo pastinya cabaran sukar pada pusingan pertama.

Sekiranya Tze Yong meneruskan aksi cemerlang hingga menyaksikan dia menewaskan Kean Yew dan Srikanth, dia akan berdepan dengan Axelsen pada pusingan ketiga.

Meskipun Tze Yong baru dalam saingan Kejohanan Dunia, tidak semestinya bintang lain boleh memandang rendah keupayaannya kerana watak baharu akan sukar dibaca, sekali gus memberi Tze Yong peluang mencipta sejarah.

POPULAR