fbpx
NAIM (kiri) berpendapat Iman perlu diberikan ruang untuk memperbaiki sebarang kekhilafan dirinya.

Naim Daniel ‘back up’ Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Susulan isu sukar dihubungi dan memberikan kerjasama, pelakon dan komposer berbakat, Naim Daniel meminta semua pihak memberikan ruang serta memahami situasi yang sedang dilalui rakan baiknya penyanyi, Iman Troye.

Menurut Naim, sebagai penyanyi yang turut menggalas tanggungjawab selaku mahasiswa jurusan muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Iman barangkali berdepan kesukaran untuk membahagikan masa antara kerjaya dan pengajian.

Baginnya, Iman perlu ada solusi jika tidak mampu menguruskan kerjayanya sendirian.

“Tidak mudah untuk seimbangkan antara pelajaran dan kerjaya. Setiap satu ada rentaknya, mungkin dia mengambil sedikit masa untuk terbiasa dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Populariti ada kalanya datang tanpa kita sedari. Daripada situ, orang mula menilai sedangkan perkara yang berlaku bukan disengajakan.

“Jadi, Iman perlu periksa dan ambil tahu apa puncanya perkara itu timbul. Saya contohnya, jika tidak dapat dihubungi, pihak media boleh mencari pengurus untuk memudahkan urusan,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Purnama itu berpendapat, hubungan selebriti dan media seharusnya baik-baik sahaja kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

“Dari awal memasuki industri hiburan, saya sudah diajar untuk berdepan apa sahaja perkara. Malah, dalam apa juga keadaan, selebriti dan pihak media saling memerlukan antara satu sama lain.

“Saya sendiri ada ketika agak sukar untuk dihubungi, kadang-kadang selepas beberapa hari, baru saya sempat membaca mesej dan sebagainya.

“Kekurangan itu tetap ada, terutama apabila saya terlalu sibuk dengan urusan kerja,” ujarnya.

Naim bagaimanapun percaya penyanyi Iman kini masih dalam proses menyesuaikan diri dan akan belajar daripada pengalaman yang dilaluinya ketika ini.

“Apa yang berlaku adalah satu proses. Kita sedia maklum, Iman masih baharu dalam industri, jadi perkara ini agak asing bagi dia.

“Saya percaya, Iman akan belajar daripada apa yang berlaku dan menerima pihak media juga penting untuk membantu perkembangan kerjaya,” katanya lagi.

Terdahulu, terlalu banyak rungutan diterima yang mendakwa Iman sangat sukar memberikan kerjasama bersama pihak media.

Pelantun lagu Teman itu juga jarang dapat dihubungi atau membalas mesej jika ada perkara penting berkaitan dirinya yang memerlukan penjelasan segera. – KOSMO! ONLINE

POPULAR