fbpx

Lagu ‘sendu’, Irfan Haris ubati derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN HARIS

SEKITAR lima tahun lalu, nama penyanyi kecil molek Irfan Haris pernah menjadi sebutan menerusi lagu perdananya berjudul Redha.

Lagu yang menjadi ‘periuk nasi’ penyanyi itu ketika mula-mula menyertai industri itu jugalah yang membuatkan permulaan kerjaya Irfan dalam kanvas seni mula dikenali.

Tidak dapat dinafikan, memiliki vokal tinggi disertakan dengan minat mendalam terhadap genre balada membuatkan adik kepada Amira Othman itu dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu bernada ‘sendu’.

Memulakan kerjaya nyanyian sewaktu masih di bangku sekolah menengah, Irfan bijak membahagikan masa antara pelajaran dan tuntutan kerja.

Naskhah demi naskhah dikeluarkan saban tahun bermula dengan Redha, disusuli Pesan, Hilang, Sambil (duet bersama Amira) hinggalah ke lagu terbaharu berjudul Bisik, semuanya diterima baik dan mempunyai sasaran pendengar tersendiri.

JEJAKA kecil molek berusia 21 tahun ini turut mahu mencuba nasib dan melebarkan sayap sebagai pelakon usai tamat pengajian kelak. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Teruja, masuk carta

Bak kata orang, kalau sudah rezeki pasti tidak akan ke mana. Begitu jugalah dengan tuah yang menyebelahi Irfan apabila single balada berkenaan pantas mendapat tempat di hati peminat meskipun baru sahaja diluncurkan secara rasmi baru-baru ini.

Kata Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman, dia sendiri tidak pernah menyangka Bisik berjaya membolosi Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tidak sampai dua minggu selepas dilancarkan.

“Alhamdulillah, ini adalah pencapaian yang memberangsangkan dan di luar jangkaan buat Bisik.

“Apabila syarikat pengurusan ucapkan tahniah, saya tidak sangka dan terkejut. Kali terakhir lagu saya bolos Carta RIM adalah pada 2017 menerusi single kedua saya, Pesan.

“Bagaimanapun enam buah lagu lain yang dihasilkan selepas itu tidak berjaya masuk carta, sehinggalah Bisik yang menjadi single kelapan,” katanya kepada Hib Glam ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Irfan, dia betul-betul mengharapkan momentum single Bisik terus meningkat dan dapat meraih perhatian lebih ramai pendengar.

TIDAK hanya mencipta lagu, Irfan turut menyimpan hasrat menerbitkan album penuh suatu hari nanti.

Pendam, sedih

Berkongsi lanjut, Irfan berkata, idea menghasilkan karya terbitan Rocketfuel Entertainment tersebut tercetus sejak empat tahun lalu.

Ujar anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu, lagu tersebut menceritakan tentang lelaki yang sudah lama menyimpan perasaan sedih dan merindukan seseorang.

“Ketika itu, saya rindukan seseorang yang amat dekat di hati saya. Tetapi bukanlah teman wanita, sebaliknya dia teman sekolah.

“Jadi, cara saya luahkan perasaan adalah melalui penciptaan melodi spontan. Saya ambil gitar dan terus petik sehinggalah tercetusnya idea lagu ini,” kongsinya.

Persis judulnya, penyanyi berusia 21 tahun itu menjelaskan, single tersebut membawa maksud kata-kata berbisik kepada diri sendiri apabila terlalu merindukan seseorang.

IRFAN bersyukur naskhah terbaharu berjudul Bisik yang baru diluncurkan mendapat tempat dalam kalangan peminat dan bolos carta RIM pertengahan Julai lalu.

Album penuh, lakonan

Ditebak mengenai perancangan membikin dan melancarkan album penuh sendiri, Irfan yang kini menunggu hari graduasi hujung tahun nanti berkata, perkara tersebut memang diimpikan setiap penyanyi sama seperti dirinya.

“Itulah cita-cita setiap penyanyi untuk mempunyai album, begitu juga saya.

“Saya berharap dan sentiasa berdoa suatu hari nanti dapat melancarkan album sendiri. Sebenarnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, saya banyak buat lagu bersama abang kandung, Haiqal Iskandar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Irfan yang bakal bergelar lulusan Diploma Seni Hiburan di KDU University College mengakui mahu mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan andai diberi peluang.

“Saya mahu cuba berlakon. Menerusi pengajian dalam jurusan seni hiburan, saya belajar berlakon dan menjiwai sesuatu watak.

“Sejak dua tahun lalu, saya belajar tentang industri seni, jadi saya mahu cuba kalau ada rezeki ke arah itu,” tutupnya.

IRFAN berkata, derita yang dihadapi setelah kehilangan seseorang yang disayangi beberapa tahun lalu terubat apabila single Bisik mendapat sambutan hangat peminat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI