fbpx
Wan Junaidi.

Badan baharu mungkin dibentuk kawal selia dana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan mewujudkan sebuah badan baharu bagi mengawal selia dan memantau segala sumbangan pihak luar kepada parti politik tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu merupakan antara cadangan penggubalan perundangan untuk dana politik.

“Ini juga antara opsyen jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agak keberatan untuk tugas ini.

“Pihak SPR dan RoS dilihat lebih sesuai untuk tugas itu, namun ada kemungkinan tanggungjawab tersebut lebih sesuai dilakukan agensi bebas lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, beliau turut mengarahkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) untuk memperhalusi pelbagai cadangan sebelum draf Rang Undang-Undang (RUU) itu dikemukakan kepada Kabinet.

“Setakat ini, pihak GIACC sudah mengenal pasti model daripada sembilan negara yang berbeza untuk dipelajari dan dijadikan rujukan tetapi perlu disesuaikan dengan Malaysia.

“Amerika Syarikat sebelum ini pernah dijadikan model perbandingan dalam isu dana politik sedangkan pelaksanaan di negara itu sendiri agak teruk dan diragui banyak pihak,” jelasnya.

Pada Sabtu lalu, beliau mengumumkan RUU Sumbangan Politik bakal dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan setelah beberapa aspek diteliti lebih rapi.

Ia susulan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri sudah melakukan mesyuarat berhubung perkara itu pada Jumaat lalu dengan beberapa agensi yang berkaitan. -KOSMO! ONLINE

POPULAR