fbpx
Salah sebuah rumah yang mengalami kerosakan atap akibat dipukul ribut di Bukit Besi, Dungun semalam.

70 rumah terjejas akibat ribut di pedalaman Dungun, Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Lebih 70 buah rumah penduduk di kawasan pedalaman daerah ini dan Kemaman mengalami kerosakan akibat dipukul ribut pada semalam.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu melibatkan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di sini serta Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram, Kemaman dekat sini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ribut yang berlaku kira-kira setengah jam berkenaan menyebabkan sebahagian bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kencang.

“Angin kuat disertai hujan lebat itu juga telah mengakibatkan banyak pokok tumbang namun tiada rumah penduduk dihempap pokok.

“Setakat ini, sebanyak 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS dikenalpasti mengalami kerosakan,” katanya di sini hari ini.

Ghazali berkata, beliau telah mengarahkan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung masing-masing untuk melihat kerosakan bagi memudahkan penghantaran bantuan secepat mungkin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, ribut yang melanda telah menjejaskan 21 buah rumah di kawasan Cheneh dan Felda Neram.

“Kita akan menggunakan peruntukan Tabung Darul Iman bagi membantu penduduk terjejas melakukan kerja-kerja pembaikan dengan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR