fbpx
Gambar tular seorang wanita yang didakwa memakai ihram lelaki ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci baru-baru ini.

Haram wanita pakai ihram lelaki, kena bayar dam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ibadah haji atau umrah bagi wanita yang memakai ihram lelaki adalah tidak sah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, perbuatan itu bukan sahaja tidak sah, tetapi individu terbabit juga perlu membayar denda atau dam yang ditetapkan.

“Sekiranya ibadah yang dilakukannya itu adalah rukun maka wajib ke atasnya untuk membayar dam.

“Begitu juga sebaliknya sekiranya ada lelaki yang memakai pakaian wanita di sana (Tanah Suci),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta me­ngulas mengenai gambar tular yang memaparkan seorang individu dipercayai wanita me­lakukan ibadah umrah dengan berpakaian ihram lelaki di Ta­nah Suci.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, pihak berkuasa negara ini diminta supaya mengambil tindakan terhadap individu tersebut dan sekiranya didapati benar maka wanita terbabit wajar didakwa atas kesalahan menghina agama Islam.

“Tindakan undang-undang (dakwa) itu perlu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kes seumpama ini berlaku pada masa akan datang.

Abdul Rahman Osman

“Ini jelas hukum wanita menyerupai lelaki atau sebaliknya adalah dilaknat oleh Allah SWT dan berdosa. Orang ini tidak akan mendapat rahmat daripada Allah.

“Perbuatannya menunaikan umrah dengan memakai ihram menyerupai lelaki adalah menghina agama dan individu tersebut sepatutnya didakwa mengikut enakmen (undang-undang) yang ada,” ujarnya.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan tindakan tegas menanti seorang wanita yang didakwa berpakaian ihram lelaki di Mekah.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad susulan video tular yang memaparkan seorang wanita berpakaian ihram lelaki ketika menunaikan umrah di Tanah Suci baru-baru ini.

Beliau mengambil berat mengenai isu tular tersebut dan sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya setibanya individu terbabit di Malaysia kelak.

Selain itu, Idris turut meng­hubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut.

Sejak kelmarin, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai seorang wanita susulan vi­deonya berada di Mekah dengan memakai ihram lelaki.

Dalam satu hantaran video, wanita terbabit menuju ke Raudhah, malah seorang pengguna Twitter mengesahkan bahawa individu terbabit adalah wanita dan merupakan bekas pekerjanya.

POPULAR