fbpx
PELAKON, Maya Karin meluahkan hasrat ingin melakonkan watak legenda, Mahsuri di bawah arahan pengarah hebat, Syamsul Yusof.

Maya Karin idam watak Mahsuri, mahu Syamsul Yusof mengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Teruja dengan kejayaan kutipan pecah panggung filem berbentuk sejarah, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, pelakon berkaliber, Maya Karin melahirkan hasrat untuk menterjemah watak legenda, Mahsuri ke layar perak.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke berkata, dia sememangnya sudah lama mengidamkan watak ikonik tersebut.

“Kalau ada mana-mana produser yang sudi terjemahkan kisah Mahsuri dalam bentuk filem atau mungkin saya kena buat sendiri (ketawa).

“Sebenarnya, saya memang dah lama sangat teringin sangat nak buat Mahsuri. Kalau itu jadi kenyataan, memang sangat hebat. Kisah Mahsuri sangat menarik untuk difilemkan.

So many layers (banyak lapisan cerita), betul tak betul termasuklah dongeng dan elemen sejarahnya. Kalau dapat difilemkan pada zaman sekarang, memang sangat-sangat mengujakan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pernah berlakon di bawah arahan sutradara hebat, Syamsul Yusof yang mempunyai sentuhan magis selepas filem arahan sutradara itu kini sudah berjaya mencecah kutipan RM96 juta, Maya, 43, tidak teragak-agak memetik nama lelaki itu untuk menterjemahkan hasratnya melihat Mahsur difilemkan.

“Saya minta Syamsul buatlah. Dengan duit (untung) Mat Kilau, kita buat Mahsuri pula (tertawa),” ujarnya berseloroh.

Syamsul kini meraih jolokan The 90 Million Dollar Man rentetan filem terbaharu arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mencatat kutipan RM96 juta selepas lebih sebulan ditayangkan di pawagam.

Untuk rekod, kisah legenda Mahsuri pernah beberapa kali difilemkan. Yang pertama adalah pada tahun 1959 dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna ditulis oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pada 1989, sebuah lagi filem berjudul Sumpahan Mahsuri diarahkan oleh Allahryaham Jamil Sulong telah diterbitkan yang menyaksikan Norlida Ahmad memainkan peranan sebagai Mahsuri dan Yusof Wahab sebagai Kelana. – KOSMO! ONLINE

POPULAR