fbpx
Rakyat Palestin membantah pembinaan penempatan Yahudi di Nablus, Tebing Barat. - Nedal Eshtayah / Agensi Anadolu

EU mengaku pilih kasih sokong Ukraine, pejam mata pada Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS – Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU),  Josep Borrell mengaku bahawa blok berkenaan bersikap berat sebelah apabila jauh lebih bersedia untuk menyokong rakyat Ukraine berbanding penduduk Islam di Palestin, lapor laman berita RT  kelmarin.

Namun, dalam masa yang sama, beliau menuding jari kepada Amerika Syarikat (AS) atas sikap tersebut dengan asalan, konflik Asia Barat bukan berada di bawah kawalan EU.

“Kami sering dikritik kerana bersikap ‘pilih kasih’. Namun, arena  politik antarabangsa melibatkan dasar pilih kasih.

“Perlu diingatkan bahawa kami (EU) tidak menggunakan kriteria yang sama untuk semua masalah,” kata Borrell kepada akhbar El Pais.

Kata Borrell, pilihan EU untuk menyokong Kiev menentang Moscow adalah salah satu bentuk kesedaran dan penebusan moral Barat selepas gagal berbuat demikian dalam konflik di Palestin.

“Menyelesaikan krisis rakyat  Palestin yang terkurung dalam ‘penjara terbuka’ seperti yang berlaku di Gaza bukan di bawah bidang  kuasa EU,” kata diplomat itu.

Beliau menggelarkan situasi kehidupan yang daif di Gaza sebagai memalukan dan tidak bermoral tetapi enggan terlibat dalam dalam  krisis kemanusiaan di lokasi tersebut.

Semenanjung Gaza berada di bawah kepungan dan  sekatan Israel. Rejim Zionis mendakwa bahawa tindakan tersebut adalah satu-satunya cara untuk membendung ancaman gerakan Hamas yang menguasai wilayah berkenaan.

Pengkritik-pengkritik sebaliknya berkata,  penindasan terhadap rakyat Palestin baik di Gaza mahupun di Tebing Barat, hanya menimbulkan lebih banyak kebencian dan radikalisme yang mengekalkan kitaran keganasan Arab-Israel.

Borrell menjelaskan bahawa tidak akan ada penyelesaian kepada konflik di Asia Barat  tanpa komitmen yang sangat kuat di pihak AS.

“Banyak percubaan telah diusahakan  sejak dahulu namun melihatkan keadaan sekarang, tiada jalan penyelesaian untuk krisis  Palestin-Israel seperti yang diharapkan,” kata Borrell.

AS menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Israel walaupun Rejim Zionis  terus membina penempatan haram di wilayah Palestin yang didudukinya. – Agensi 

POPULAR