fbpx
GAMBAR HIASAN

Drama kahwin paksa, ‘Megah Holdings’ masih disukai penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA dilihat industri drama ta­nah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penonton dilambakkan dengan naskhah-naskhah adaptasi daripada karya novel popular.

Malah, jalan cerita yang dihidangkan juga dikatakan klise seperti konflik rumah tangga, cinta antara dua darjat dan kahwin paksa.

Situasi itu mengundang persoalan mengenai kredibiliti pe­ngarah serta kualiti drama tempatan. Perkara ini kerap dibangkitkan, malah ada yang mendakwa sudah muak dengan jalan cerita cinta fantasi atau keluarga kaya yang diberi jolokan ‘Megah Holdings’.

Kata penonton, cerita sebegitu membosankan dan mereka inginkan pembaharuan seperti drama luar negara iaitu Korea dan Indonesia. Namun, tanpa kita sedar, drama cinta fantasi itu meraih rating yang tinggi.

Sebagai contoh, Bisik-Bisik Gelora lakonan Redza Rosli dan Raysha Rizrose mendapat lebih 10 juta tontonan sekali gus membuktikan drama adaptasi yang berkisar ‘kahwin paksa’ masih mendapat sambutan.

Tidak cukup itu, terdapat juga drama adaptasi novel yang meledak hingga meraih perhatian penonton negara jiran. Hakikatnya, drama tempatan berlandaskan cerita idea hebat novelis mempunyai peminat tersendiri.

Mengulas perkara itu, pengarah drama terkenal, Riza Baharudin berkata, lambakan drama adaptasi ketika ini berlaku di­sebabkan permintaan tinggi daripada pembaca novel.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan, tetapi tanpa sedar pemintaan orang ramai yang membuatkan lebih banyak drama adaptasi novel dihasilkan.

“Kebanyakan yang meminta ialah pembaca novel itu sendiri, mereka mahu melihat jalan cerita tersebut divisualkan,” kata beliau.

Riza yang juga pengarah drama Bisik-Bisik Gelora membe­ritahu, drama yang memaparkan jalan cerita klise seperti kahwin paksa dan cinta dua darjat mempunyai pengikut yang sendiri.

“Dianggarkan hanya 20 peratus penonton yang menolak sementara 80 peratus penonton lagi menyukai drama sebegitu.

“Untuk jalan cerita seperti kahwin paksa sebenarnya ia diminati ramai kerana lebih mencabar emosi penonton.

“Setiap perkahwinan paksa itu pasti mempunyai cerita yang tersendiri dan itulah yang kami (pengarah) hendak sampaikan. Kami menghidangkan sesuatu yang penonton dan stesen te­levisyen mahukan,” katanya.

Ujarnya lagi, meskipun menyediakan jalan cerita klise, pengarah juga harus bijak untuk bereksperimentasi dan berani untuk mengubah sedikit jalan cerita asal.

“Sebagai pengarah, eksperimentasi itu bagus dan adakala­nya perlu menyuntik elemen serta idea baharu untuk mengelakkan penonton bosan.

“Setiap individu mempunyai minat mereka sendiri. Jika tidak suka drama cinta fantasi, tontonlah naskhah yang jalan ceritanya le­bih realistik,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengarah drama dan filem po­pular, Rahila Ali pula berpendapat penonton tempatan perlu mengubah mentaliti sekiranya ingin mengubah landskap industri drama tanah air.

“Bukan sahaja pengarah dan penerbit yang harus berubah, tetapi penonton juga perlu memiliki pemikiran yang sama.

“Tidak guna jika hidangkan sesuatu yang baharu, tetapi tidak mendapat sambutan kerana penonton masih dahagakan jalan cerita fantasi seperti adaptasi daripada novel,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR