fbpx

Bencana radioaktif menanti Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan pemandangan kebakaran di loji janakuasa nuklear Zaporozhye akibat dibedil tentera Ukraine pada 4 Mac lalu. - Agensi Anadolu

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin bahawa IAEA mesti dibenarkan memeriksa loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine.

Menurut IAEA, pertempuran berhampiran lokasi itu mengundang malapetaka serius.

“Ini merupakan detik serius dan IAEA mesti dibenarkan melaksanakan misinya ke Zaporizhzhia secepat mungkin,” kata Rafael Grossi  semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB menerusi sidang video. 

Ukraine dan Russia berperang sejak Moscow menceroboh negara jirannya yang pro-Barat itu lewat Februari  lalu.

Tentera kedua-dua negara bertempur di Zaporizhzhia dan kawasan sekitarnya sehingga mendorong gesaan antarabangsa supaya pertempuran di sekitar loji janakuasa itu di hentikan segera. Zaporizhzhia adalah loji nuklear terbesar di Eropah.

Susulan perkembangan membimbangkan itu, Washington menyatakan bahawa pihaknya menyokong desakan PBB supaya zon bebas tentera diwujudkan di sekitar Zaporizhzhia.

“Lawatan ini (pasukan penyiasat  IAEA)  tidak boleh ditangguhkan lagi,” kata Setiausaha Rendah Kawalan Senjata dan Keselamatan Antarabangsa AS, Bonnie Jenkins sambil menambah, satu-satunya cara mencapai jaminan keselamatan nuklear adalah dengan Moscow menamatkan perang di Ukraine.

Bagaimanapun, Duta Russia ke PBB, Vasily Nebenzya menyalahkan keganasan di  Zaporizhzhia dan kawasan sekitarnya kepada pasukan tentera Ukraine.

Nebenzya berkata, kecuaian Ukraine dalam cubaan merampas semula loji nuklear  Zaporizhzhia  menolak dunia ke ambang bencana nuklear yang dahsyat.

Beliau berkata, dunia akan ditimpa malapetaka jika perkara itu dibiarkan  berterusan.

Loji janakuasa nuklear  Zaporizhzhia berada di bawah kawalan tentera Russia sejak konflik di Ukraine bermula  dan dibedil berulang kali oleh tentera Ukraine.

“Kami beberapa kali memberi amaran kepada Barat bahawa sekiranya mereka gagal bercakap dengan rejim Kiev supaya lebih munasabah, perbuatan tanpa berpikir panjang ini (membedil loji Zaporizhzhia) bukan sahaja akan menjejaskan Kiev tetapi turut membahayakan dunia,” katanya sambil menambah, Barat selaku penaja Kiev  perlu memikul tanggungjawab sekiranya  bencana nuklear berlaku.

Serangan bertubi-tubi tentera Ukraine ke atas kemudahan infrastruktur nuklear itu mendorong dunia ke ambang bencana nuklear yang setanding atau lebih buruk berbanding Chernobyl, katanya.

“Jika tentera Ukraine meneruskan serangan ke atas loji janakuasa ini, bencana nuklear boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” jelas Nebenzya.

Sebarang bencana yang menimpa Zaporizhzhia pula  boleh menyebabkan pencemaran radioaktif  tersebar ke kawasan luas dan  menjejaskan sekurang-kurangnya lapan wilayah Ukraine, beberapa wilayah Russia serta  Belarus yang bersempadan dengan Ukraine.

Republik Rakyat Lugansk dan Donetsk, Moldova, Romania dan Bulgaria juga berkemungkinan menderita.

“Harus diingat ini hanyalah ramalan pakar-pakar  nukelar yang paling optimistik kerana skala sebenar bencana nuklear sebesar itu sukar untuk dibayangkan,” tambahnya.

Grossi bagaimanapun  memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa setakat ini, keadaan di loji itu masih terkawal.

“Saya meminta kedua-dua belah  pihak (Russia dan Ukraine)  supaya bertolak-ansur  dan membenarkan misi IAEA untuk memeriksa loji  Zaporizhzhia di teruskan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa supaya sebarang aktiviti ketenteraan di sekitar loji itu dihentikan.

Terdahulu, timbalan jurucakap Kementerian Luar Rusia, Ivan Nechaev berkata bahawa Moscow menyokong keputusan IAEA untuk memeriksa loji  Zaporizhzhia.

“Kemudahan itu tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sebarang operasi ketenteraan,” kata Guterres pula.

China juga menggesa semua pihak yang berkepentingan untuk duduk di meja rundingan dan mencari penyelesaian kepada isu serius tersebut. Agensi/AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI