fbpx
Bulan mengandungi bahan yang dipercayai boleh menghasilkan tenaga nuklear lebih selamat.

Saingan melombong ‘emas bulan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI Bumi, Bulan dilihat sebagai satu objek yang indah menghiasi langit malam terutama ketika ia sedang mengambang (bulan penuh).

Namun begitu, bagi negara peneroka angkasa lepas, Bulan kita merupakan ‘lombong emas’ yang bakal membekalkan sumber bahan api sesuai untuk memacu reaktor gabungan masa hadapan iaitu isotop helium, helium-3.

Isotop ini akan membekalkan tenaga nuklear dalam reaktor pelakuran tetapi kerana ia bukan radioaktif, bahan ini tidak akan menghasilkan sisa berbahaya.

Menurut profesor dan ahli geologi planet dari Western University, London, Britain, Gordon ‘Oz’ Osinski, idea mengekstrak sumber daripada asteroid dan juga Bulan telah wujud selama beberapa dekad lalu.

“Namun begitu, rancangan untuk melombong Bulan kini hampir menjadi realiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ini kerana, selepas lebih 50 tahun memfokuskan pada orbit Bumi rendah dari segi kehadiran manusia di angkasa, dengan angkasawan yang tinggal di Stesen Angkasa Antarabangsa, keadaan sudah berubah,” katanya.

Pada 2025, manusia dijangka sekali lagi menjejakkan kaki di Bulan sebagai sebahagian daripada program Artemis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang mana 29 negara tambahan telah menandatanganinya termasuk Kanada.

Terdapat juga stesen angkasa baharu yang mengorbit Bulan sebagai sebahagian daripada program yang dipanggil Lunar Gateway yang juga bakal disumbangkan oleh Kanada iaitu Canadarm3.

Tujuan stesen ini adalah untuk akhirnya berfungsi sebagai semacam titik lompat untuk pergi ke Bulan, Marikh dan seterusnya.

Perlombongan di angkasa juga diyakini bakal menjadi kenyataan oleh pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Canadian Space Mining Corporation, Daniel Sax.

”Perlombongan angkasa lepas pasti akan berlaku dan ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan serta bukan satu kemungkinan, malah ia akan berlaku dalam jangka masa terdekat.

“Akan ada perlombongan angkasa lepas yang berlaku dalam persekitaran Bulan dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan inovasi penghasilan sumber air, oksigen dan bahan guna utama lain untuk penerokaan angkasa lepas,” ujarnya.

Selain itu, para saintis Eropah juga telah mengumumkan rancangan untuk memulakan perlombongan Bulan seawal 2025, walaupun apa yang mereka akan keluarkan bukan emas atau berlian, tetapi tenaga nuklear bebas sisa yang dianggap bernilai trilion dolar.

Misi itu akan digalas oleh Agensi Angkasa Eropah dengan kerjasama ArianeGroup yang mana dijangka turut melibatkan penyertaan saintis sambilan kumpulan Jerman dan bekas peserta Google Lunar XPrize.

Perlombongan di Bulan dijangka akan menjadi tumpuan pada tahun 2025.

Eropah bukan satu-satunya pihak yang berhasrat untuk melakukan perlombongan Bulan, tetapi Russia, India dan China juga telah menyatakan hasrat tentang mengekstrak helium-3 daripada satu-satunya satelit semula jadi Bumi itu.

Beijing telah pun mendarat di Bulan dua kali pada abad ke-21, dengan lebih banyak misi yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang.

Menurut pengarah Institut Teknologi Fusion di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, Gerald Kulcinski dan bekas ahli Majlis Penasihat NASA, dianggarkan terdapat satu juta tan helium-3 di Bulan dan hanya 25 peratus daripadanya boleh dibawa ke Bumi.

“Itu sudah cukup untuk memenuhi permintaan tenaga semasa dunia, sekurang-kurangnya dua dan mungkin sebanyak lima abad.

“Kami menganggarkan bahawa nilai helium-3 boleh mencecah sehingga hampir AS$5 bilion (RM23.7 bilion) satu tan,” katanya.

Dalam keterujaan beberapa negara yang mahu melombong di angkasa lepas, ahli astronomi menimbulkan kebimbangan tentang tindakan tergesa-gesa untuk mengaut sumber berharga di Bulan.

Pakar-pakar tersebut menyatakan bahawa semakin banyak pembangunan berlaku di Bulan, sama ada untuk habitat atau sumber yang dibawa balik ke Bumi, semakin kuranglah saintis boleh menggunakan satelit semula jadi planet untuk kajian.

Menurut ahli astronomi Universiti Arizona Richard Gree, meskipun bimbang, pihaknya tidak cuba menyekat pembinaan pangkalan bulan.

“Bagaimanapun, hanya terdapat segelintir tapak yang menjanjikan di sana dan sebahagian daripadanya sangat berharga dari segi saintifik.

“Ambil, sebagai contoh, kawah dalam Bulan yang tidak pernah melihat cahaya matahari. Ia sangat sejuk dan mungkin hanya beberapa dozen darjah di atas sifar mutlak sekali gus menjadikannya secara saintifik sangat berharga,” jelasnya.

Sememangnya, amaran akademik seperti ini tidak diendahkan oleh mereka yang tamak untuk mendapatkan keuntungan.

Itulah sebabnya kumpulan kerja yang diketuai oleh Green bersedia untuk bertemu dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir bulan ini bagi membincangkan pengukuhan undang-undang angkasa lepas yang boleh melarang potensi lonjakan ‘emas bulan’ daripada menjadi tidak terkawal.

Walaupun terdapat kemajuan besar dalam pelayaran angkasa lepas sejak beberapa dekad yang lalu, ia tidak membawa kepada kemas kini undang-undang angkasa lepas sejak kelulusan Perjanjian Angkasa Lepas 1967 yang menghalang mana-mana negara daripada membuat tuntutan terhadap sebuah badan angkasa.

Pada tahun 1979, PBB memperkenalkan Perjanjian Bulan yang menuntut Bulan dan badan-badan lain supaya harus digunakan secara eksklusif bagi tujuan damai, supaya persekitarannya tidak boleh diganggu.

Ia bukan perkara mudah terutama dalam mencadangkan bahawa undang-undang tersebut memerlukan pindaan yang serius.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN