fbpx

Remang kini menghantui penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENERBIT naskhah Remang, Hariff Ahamat bersama para pelakon, Chacha Maembong, Natasya Elyzza dan Aween Ismail.

SLOT seram terbitan saluran televisyen TV3 kini kembali menghantui para penonton menerusi naskhah bersiri berjudul Remang.

Kongsi penerbitnya, Hariff Ahamat, Remang yang membawakan kisah legenda urban di Malaysia memaparkan kisah berlainan dalam setiap episod.

“Setiap episod, kami menyajikan kisah berbeza dan tentu ceritanya sangat dekat dengan penonton memandangkan kami mengangkat legenda urban yang sering menjadi bahan bualan dalam kalangan masyarakat kita.

“Antara cerita seram yang sering dikongsi ramai ialah pengawal keselamatan yang diganggu, saka turun-temurun dan hantu tumpang,” ujarnya.

Lari daripada kebiasaan cerita hantu klise, dia memberitahu terdapat episod yang mengetengahkan tentang kisah seram kaum Cina.

Hantu pelbagai kaum

“Istimewanya tentang episod tersebut, saya ketengahkan tentang kepercayaan masyarakat Cina iaitu hungry ghost.

“Itu antara kelainan yang saya terapkan dalam Remang. Jarang cerita seram yang sering dipaparkan mengetengahkan kisah hantu kaum lain.

“Perkara sebegini yang penonton mahukan. Dalam masa sama semua itu dapat mendidik penonton untuk menghormati kepercayaan kaum lain,” katanya.

Berkongsi pengalaman menerbitkan drama tersebut, dia mengakui pelbagai cabaran seram turut dilalui pasukan produksi.

“Antara cabarannya ialah gangguan mistik di lokasi penggambaran, contohnya terdapat kelibat yang muncul menyerupai seorang pelakon kami sedangkan dia sudah pulang ke rumah.

“Dalam pada itu, bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku di set penggambaran, kami turut menggunakan khidmat ustaz bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” kongsinya lagi.

Remang mengisahkan Ejay lakonan Syafie Naswip, seorang penyampai radio yang dihubungi pendengar bagi berkongsi pengalaman mistik menerusi slot program Remang Malam.

Antara kisah seram yang dipaparkan adalah Dendam Saka, Pakcik Tumpang, Botol Puaka dan lain-lain.

Selain Syafie, drama terbitan Anomali Media Sdn Bhd tersebut turut membariskan pelakon seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Azrel Ismail, Aween Ismail, Natasha Elyzza dan ramai lagi.

Naskhah sebanyak 12 episod menerusi slot Malam Seram bersiaran pada setiap hari Isnin pukul 11 malam bermula 1 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI