fbpx

Kim Jong-un ‘demam’ semasa krisis Covid-19 Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jong-un menyapa beberapa pegawai jabatan kesihatan dan saintis di Pyongyang pada 10 Ogos lalu. - AFP

PYONGYANG – Kim Yo-jong yang merupakan adik perempuan pemimpin tertinggi, Kim Jong-un menyatakan bahawa abangnya jatuh sakit akibat Covid-19 di sebalik perisytiharan ‘kejayaan bersinar’ Korea Utara dalam perang melawan koronavirus, demikian menurut laman berita Wion News semalam.

Media pemerintah melaporkan, Yo-jong meminta supaya langkah-langkah pencegahan Covid-19 dilonggarkan dan berkata, angka kematian rasmi seramai 74 orang sebagai ‘keajaiban luar biasa’ dalam sejarah komuniti kesihatan negara komunis itu.

“Kemenangan yang dicapai oleh rakyat kita adalah peristiwa bersejarah yang sekali lagi menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya Korea Utara,” agensi berita KCNA ketika memetik Yo-jong sebagai berkata.

Beliau mengaitkan penularan Covid-19 dengan risalah propaganda yang dihantar menggunakan belon udara oleh aktivis-aktivis dari Korea Selatan. Justeru, Yo-jong mengancam akan membalas dendam jika Seoul gagal menghalang mereka.

Sementara itu, pemimpin nombor dua Korea Utara itu memaklumkan bahawa Jong-un turut dijangkiti virus Covid-19 dan berkata, abangnya adalah salah seorang daripada puluhan juta rakyat Korea Utara yang mengalami ‘demam’.

Pyongyang menegaskan bahawa Korea Utara tidak mengesan walaupun satu kes Covid-19 dalam tempoh dua tahun pertama pandemik berlaku walaupun sistem penjagaan kesihatan negara itu yang lemah dan tidak berupaya menangani wabak penyakit yang besar.

Dengan populasi 26 juta orang, Korea Utara melaporkan kira-kira 4.8 juta kes ‘demam’ sejak Mei tahun ini dan mengenal pasti hanya peratusan kecil sebagai Covid-19, berkemungkinan untuk mengelak orang ramai panik disebabkan kekurangan kit ujian.

Dalam pada itu, pakar-pakar bertindak mempersoalkan dakwaan rasmi Korea Utara mengenai sifar kes baharu sejak 29 Julai lalu dan jumlah kematiannya yang rendah.

Negara itu mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan paling teruk di dunia dengan hospital-hospital kekurangan dana, unit rawatan rapi terhad dan tiada vaksin atau pilihan rawatan untuk Covid-19. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI