fbpx
Niezam mengakui mentalnya terganggu dan pernah terfikir untuk membunuh diri disebabkan terpalit dengan isu dadah dan kecaman tidak berkesudahan daripada netizen.

Isu dadah, Niezam Zaidi hampir gila, bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Kalau bukan Islam, mungkin dah lama saya gila dan buat benda tak sepatutnya seperti bunuh diri.”

Demikian respons spontan pelakon Niezam Zaidi yang mengakui cukup terkesan dengan apa yang dilemparkan netizen kepadanya renteran terpalit isu penyalahgunaan dadah sekitar Oktober tahun lalu.

“Jujur sekiranya saya tidak berpegang pada agama, mungkin kepala saya sudah jauh melayang sehingga menjadi gila atau bunuh diri.

“Minta maaf tetapi banyak yang sudah saya lalui. Apa yang berlaku mungkin dilihat sebagai kenangan pahit atau titik hitam, namun saya mengambil pendekatan menjadikan insiden itu sebagai ubat dan penawar.

“Isu kesihatan mental ini kita tak boleh ambil remeh walaupun orang lain nampak luaran kita okey tapi sebaliknya tidak lebih-lebih lagi media sosial ada notifikasi yang kita boleh baca dan lihat semua komen.

“Dengan hanya membaca sahaja sebenarnya komen tersebut boleh jadi faktor kepada masalah mental. Itulah yang saya alami sewaktu berdepan dengan insiden (kes dadah) sebelum ini,” katanya.

Enggan terus membiarkan kesihatan mentalnya terganggu, pelakon filem Sangkar dan Budak Pailang itu membuat keputusan untuk neninggalkan ibu kota dan menetap bersama keluarganya di Ipoh, Perak.

Kata Niezam, 30, biarpun berdepan dengan apa masalah atau ujian sekali pun, keluarga menjadi orang pertama yang akan sentiasa ada di sisi memberikan sokongan.

“Fokus saya ketika ini adalah ketenangan, jadi saya mahu berada dekat dengan keluarga dan buat keputusan untuk tinggal di Ipoh sejak awal tahun ini.

“Malah, mak saya sakit tiga serangkai dan papa saya pun sudah tua. Kita tak tahu mereka boleh hidup sampai bila, selagi boleh berjasa, saya akan buat yang terbaik.

“Masa senang memang kita ramai kawan tapi bila susah, keluarga juga yang datang dulu. Saya ingat lagi masa di Kuala Kangsar, papa saya yang dah berusia 60 tahun datang ke sana untuk bantu selesaikan kes,” ujarnya usai tayangan perdana telefilem berjudul Kan Cheong terbitan Thinkerbell Studio kelmarin.

Terdahulu, pada 10 Oktober lalu, Niezam bersama seorang pengarah filem dan penolong pengarah didenda Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar, Perak atas kesalahan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman terhadap Niezam, 30; Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan Niezam menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing selama tiga dan dua tahun. – KOSMO! ONLINE

POPULAR