fbpx
MOHD. Sazili menyerahkan bendera kontinjen UiTM kepada wakil atlet sukan universiti itu.

Aniq, Ain Nabilah bakal terima insentif kecemerlangan khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat pada Sukan Komanwel Birmingham bakal menerima insentif kecemerlangan khas termasuk wang saguhati.

Kedua-dua mereka iaitu atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi yang masing-masing meraih emas dan perak dalam temasya antarabangsa itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan dua atlet universiti itu yang menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia.

Katanya, UiTM bersetuju untuk memberikan insentif khas terutama pengecualian yuran pengajian dan kolej kediaman.

“Selain itu, kedua-dua penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi berkenaan akan diberikan laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kita semestinya turut akan memberikan hadiah saguhati kepada Mohamad Aniq dan Ain Nabilah yang jumlahnya akan ditentukan pengurusan UiTM nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis penyerahan bendera Kontinjen UiTM ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 di Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Mohamad Aniq, 20, menghadiahkan emas pertama negara selepas memenangi acara angkat berat 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 249 kg.

Trio boling padang yang turut disertai Nur Ain Nabilah pula membawa pulang perak selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final acara triples wanita pada 6 Ogos lalu.

Tambah Mohd. Sazili, UiTM menerusi Pusat Sukannya akan cuba mengenal pasti atlet pelapis lain yang berpotensi untuk menyinar di peringkat lebih tinggi terutama antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

POPULAR