fbpx

Liga Premier : Perak FC tumpaskan Kelantan FC 2-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasmir meraikan jaringan pertama Kelantan FC pada minit kedua semasa menentang Perak FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN KELANTAN FC

KOTA BHARU – Kelantan FC gagal mengekalkan rekod kemenangan di laman sendiri musim ini apabila tewas 1-2 kepada Perak FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah kedudukan The Red Warriors (TRW) yang masih kekal di puncak liga dengan kelebihan lima mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II yang berada pada kedudukan kedua.

Kelantan FC tidak menunggu lama untuk mengembirakan kira-kira 8,173 penyokong apabila pemain tengah, Jasmir Mehat menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit kedua.

Perak FC seolah-olah tersentak dengan jaringan awal itu cuba bangkit dengan mengasak kubu pasukan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan.

Percubaan skuad The Bos Gaurus berhasil apabila rembatan pasukan, Wan Zack Haikal Wan Nor dari luar kotak penalti berjaya menerjah jaring Kelantan FC pada minit ke-14.

Salah faham antara penjaga gawang, Nik Mohd. Amin Ahmad dan pemain pertahanan membawa padah buat kem tuan rumah apabila Khairul Helmi Johari tertanduk bola ke gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol kedua buat pasukan pelawat enam minit kemudian.

Kelantan FC yang bermain dalam tekanan terus berusaha mengatur serangan ke kubu lawan untuk mencari gol penyamaan sebaik sahaja perlawanan bersambung pada babak kedua.

Bagaimanapun, pemain-pemain Perak FC bijak mengatur serangan dan bertahan sepanjang perlawanan.

Anak-anak buah Rezal Zambery Yahya hampir memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-74 apabila Mohamad Ikhwan Yazek melakukan rembatan kencang, namun diselamatkan oleh penjaga gol Perak FC, Muhammad Zamir Selamat.

Perak FC terus kental bertahan sekali gus menafikan setiap serangan TRW untuk memuktamadkan kemenangan buat skuad The Bos Gaurus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI