fbpx
SEORANG wanita menunjukkan telaga digunakan enam keluarga di Kampung Padang Durian dekat Pendang ekoran tiada bekalan air bersih.

Enam keluarga guna air telaga berkeladak sejak dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG – “Kami terpaksa takung air telaga supaya sisa kotoran mendap sebelum digunakan untuk minum dan masak”.

Itu situasi yang terpaksa dila­lui enam keluarga di Kampung Padang Durian, Pendang dekat sini selepas tidak menerima bekalan air bersih sejak sekian lama.

Seorang penduduk, Siti Ma­riam Omar, 36, memberitahu, pakaian sekolah anaknya yang berwarna putih akan bertukar warna selepas dibasuh menggunakan air telaga.

“Bagi keperluan memasak dan minum, kami terpaksa ­menakung air telaga tersebut terlebih dahulu supaya sisa kotoran mendap sebelum menggunakannya.

“Kami merayu supaya masalah ini diberi perhatian segera oleh pihak bertanggungjawab kera­na penduduk kampung lain yang berhampiran sudah lama menikmati kemudahan bekalan air paip untuk kegunaan harian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ridzuan Morad, 52, berkata, dia sekeluarga membelanjakan le­bih RM3,000 bagi tujuh pam air yang dibeli bagi mengepam air telaga di rumahnya mengalami ­kerosakan.

“Masalah ini pernah diadukan kepada pihak berkaitan tetapi tiada tindakan diambil setakat ini,” tambahnya.

Sementara itu, Presidennya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan ­negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) me­nyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah dihadapi enam keluarga ber­ke­naan.

Menurutnya, keluarga berkenaan terpaksa menggunakan air telaga yang kotor dan berkeladak setelah sekian lama.

“CAP dalam tinjauan yang dibuat mendapati air telaga yang digunakan penduduk kampung tersebut keruh dan berwarna kuning.

“Keadaan ini menjadi lebih serius selepas hujan yang mana ia kelihatan seperti ‘teh susu’ akibat dicemari sisa lumpur,” katanya.

Jelasnya, mereka bimbang air dari telaga tersebut dikhuatiri tercemar dengan sisa racun memandangkan ia terletak tidak jauh dari kawasan sawah.

“CAP percaya jika masalah ini terus membelenggu penduduk kampung tersebut, kita bimbang kesihatan mereka terancam oleh sisa racun dari kawasan sawah berdekatan yang mungkin menye­rap ke dalam telaga,” jelasnya.

POPULAR