fbpx

Yakin aturan Allah, jangan hanyut – Mizz Nina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIZZ NINA

PETALING JAYA – “Hidup perlu diteruskan. Kita mesti tawakal dan meletak keyakinan sepenuhnya dengan setiap aturan-Nya.”

Itu antara butiran perkongsian, aktivis kemanusiaan Mizz Nina yang sekali lagi menarik perhatian ramai.

Sejak mengumumkan perceraian dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pada minggu lalu, nama bekas penyanyi, Mizz Nina masih menjadi bualan hangat.

Terbaharu, wanita yang pernah popular menerusi lagu What You Waiting For itu menerusi satu hantaran Instagram mengakui tidak mampu membalas semua kasih sayang dan doa orang ramai buatnya.

Dalam hantaran sama, pemilik nama penuh Shazrina Azman, 42, itu, memberitahu turut mengambil sedikit kesempatan untuk keluar bersiar-siar sekitar ibu negara bersama anaknya, Musa.

“Alhamdulillah, masih berpeluang untuk keluar sebentar, menghirup udara segar serta sinaran matahari bersama Musa dan sahabat.

“Alhamdulillah atas doa, semangat dan sokongan. Semoga Allah membalas serta mengurniakan anda dengan lebih banyak kasih-sayang, belas-kasihan, barakah, perlindungan dan kejayaan dunia serta akhirat.

“Semoga Tuhan mengampunkan kita semua dan menjadikan saya lebih baik daripada doa anda semua,” katanya.

Sementara itu, dia turut berkongsi pesanan daripada salah seorang gurunya iaitu agar sentiasa bertawakal kepada Allah untuk setiap perkara yang terjadi dalam kehidupan.

“Hidup perlu diteruskan. Kita mesti tawakal dan meletak keyakinan sepenuhnya dengan setiap aturan-Nya.

“Walau apa pun yang terjadi dalam hidup, Dia tahu mengenainya dan akan memberikan yang terbaik kepada anda.

“Kita hanya perlu melakukan yang terbaik dan tidak tenggelam dalam rasa duka masa lalu atau ketakutan sehingga menjadikan kita kurang produktif.

“Perkara tersebut merupakan salah satu ketakutan besar buat saya iaitu tidak menggunakan masa yang Allah beri untuk kebaikan dan hanyut dalam emosi negatif,” ujarnya panjang lebar.

Pada akhir perkongsian sama, dia turut berkongsi sepotong doa yang boleh membantu melegakan rasa ketakutan dan stres.

Terdahulu, Nina dan Noh menggemparkan industri seni tanah air apabila mengumumkan berita perceraian mereka menerusi satu hantaran Instagram pada 4 Ogos lalu.

Pasangan berkenaan dikatakan sudah bercerai dalam satu prosedur di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 3 Ogos lalu.

Difahamkan juga, mereka telah memfailkan perceraian pada 14 Jun lalu di mahkamah sama.

Pada 13 Julai lalu, Noh juga pernah menyangkal dakwaan perkahwinannya bersama Nina berdepan masalah.

Sekadar info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011 namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Sekitar April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI