fbpx

Mahkamah: Serah RM19 juta, dakwa diugut Gnanaraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO/ Faiz Alif Ahmad Zubir.

KUALA LUMPUR – Saksi utama kes rasuah Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau menyerahkan wang RM19 juta kepada seorang `kaki tipu’ selepas diugut oleh ahli perniagaan itu berhubung pendakwaan kes pengubahan wang haram.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, ugutan itu dibuat oleh seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja melalui aplikasi WhatsApp selain mendakwa beliau mengetahui nama dan nombor kad pengenalannya.

Ketika ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi pendakwaan ke-23 itu mengaku kes pengubahan wang haram tersebut memberi kesan kepada syarikatnya.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Gobind: Itu sebab kamu membayar RM19 juta kepadanya?
Zarul: Saya tidak setuju kerana puncanya lebih daripada itu.

Gobind: Saya cadangkan, itu adalah satu-satunya sebab yang membuatkan kamu menyerahkan wang tersebut.
Zarul: Tidak setuju.

Pada sesi soal balas, Zarul Ahmad turut menyatakan, beliau kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Gnanaraja menipunya.

Ujarnya, beliau membuat aduan selepas dibebaskan daripada tahanan SPRM sekitar Januari 2018 dan selanjutnya memberi kenyataan kepada agensi itu.

Menurut Zarul Ahmad, ketika kenyataannya dirakam, beliau dirujuk oleh pegawai SPRM perbualan WhatsApp di antaranya dengan Gnanaraja yang diambil daripada telefon bimbit ahli perniagaan tersebut.

Menjawab soalan Gobind, saksi mengaku beliau diminta oleh pegawai perakam mengesahkan perbualan itu yang berlaku di antara Mei 2017 dan Januari 2018.

Dalam keterangannya, Zarul Ahmad tidak mengetahui sama ada perbualan yang ditukar dalam bentuk kenyataan itu kemudian dikemukakan kepada pihak pendakwaan.

Pada peringkat itu, Gobind meminta kepastian daripada pihak pendakwaan sama ada perbualan WhatsApp itu telah diubah menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi mencelah dengan menyatakan, permohonan pihak pendakwaan itu merupakan dua perkara berbeza.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun menjelaskan, pada awalnya peguam memohon agar telefon milik Gnanaraja dibuka di hadapan mahkamah.

“Minggu lepas mereka minta saya periksa ada `print out’ atau tidak, saya kata saya belum periksa lagi namun apa yang saya dengar dari pegawai penyiasat (kes itu), kertas siasatan telah dilupuskan kerana kes dah lama,” ujarnya.

Menurut Wan Saharuddin, pihak pembelaan perlu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Minggu lalu, Gobind membuat permohonan lisan agar butiran perbualan melalui WhatsApp melibatkan Zarul Ahmad dan Gnanaraja dalam tempoh di antara Julai 2017 dan Januari 2018, dikemukakan kepada mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI